Polis hari ini memperoleh perintah reman selama tiga hari terhadap Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi dan pengarah kewangannya, Dobby Chew bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan dana haram.

Penyelaras Mandiri, Wong Kueng Hui mengesahkan bahawa perintah itu dibenarkan semasa prosiding di lokap Jinjang, Kuala Lumpur, tempat kedua-dua individu itu ditahan susulan penangkapan mereka semalam.

"Reman tiga hari sehingga 25 Sept (Jumaat), tertakluk kepada permohonan lanjutan oleh pihak polis," kata Wong kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri Development Centre Sdn Bhd serta menahan dua pengarah syarikat berkenaan, petang semalam.

Mohd Khalid berkata kedua-dua lelaki itu ditahan 3.53 petang oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

“Kertas siasatan dibuka pada 10 Sept susulan satu laporan polis yang dibuat berdasarkan hasil semakan terhadap syarikat berkenaan berhubung penerimaan dana yang disyaki hasil daripada aktiviti haram bagi tempoh 2024 hingga 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Inspector-General of Police Mohd Khalid Ismail IGP 270226

Beliau berkata polis akan meneruskan siasatan secara menyeluruh berlandaskan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes ini, termasuk aspek penyimpanan, pemindahan, penggunaan serta kemasukan atau pengeluaran wang yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil daripada aktiviti haram.

Mohd Khalid turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan bagi memastikan kelancaran proses siasatan.

Semalam, kedua-dua pengarah itu dipanggil pihak polis untuk dirakam kenyataan berhubung siasatan yang dijalankan.

Selesai proses merakam keterangan, mereka ditahan tidak lama selepas mengadakan sidang media di luar Menara KPJ (Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman) di Kuala Lumpur.