Polis menahan Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi, dan Pengarah Kewangan, Dobby Chew, berhubung siasatan yang sedang dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Pengganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Penyelaras pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia itu, Wong Kueng Hui, memberitahu Malaysiakini bahawa alasan penahanan Amir masih belum jelas, manakala Chew ditahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Amla.

Sebelum itu, kedua-dua mereka dipanggil oleh pihak polis untuk dirakam kenyataan berhubung siasatan yang sama.

Mereka ditahan tidak lama selepas mengadakan sidang media di luar Menara KPJ di Kuala Lumpur, petang ini.

Pada Sabtu lalu, Mandiri dan kumpulan hak asasi Hayat memberitahu bahawa hampir 20 pegawai dari unit pencegahan pengubahan wang haram polis menyerbu pejabat bersama mereka dan merampas dokumen organisasi.

Ketika bercakap kepada pemberita, peguam Chong Kar Yan yang mewakili Chew mengesahkan penahanan anak guamnya.

“Malam ini mereka akan ditahan di lokap Jinjang dan prosiding reman akan dijalankan esok.

“Mereka telah memberikan kerjasama penuh dan kenyataan mereka diambil oleh dua anggota polis,” kata Chong.

Sementara itu, pengasas bersama Mandiri, Mohammad Alshatri Abdullah berkata kedua-dua mereka itu ditahan walaupun telah memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang dijalankan.

“Saya ingin tegaskan, pada awal siasatan ini, kami tidak pernah dimaklumkan terlebih dahulu sebelum akaun bank mereka dibekukan.

“Selepas mendapat tahu bahawa akaun bank dibekukan dan mereka dilarang keluar ke luar negara, mereka hadir sendiri ke Bukit Aman dan kemudian ke unit Amla (JSJK) untuk bertanyakan asas siasatan berkenaan,” katanya.

“Bagaimanapun, mereka tidak pernah dimaklumkan tentang alasan siasatan tersebut,” tegas Mohammad yang menyifatkan siasatan dan penahanan itu sebagai satu bentuk “intimidasi”.

Dia juga mengumumkan satu perhimpunan solidariti akan diadakan di luar lokap Jinjang malam ini.