Kontroversi melibatkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli didakwa terlibat dengan ajaran dikenali sebagai New Age Movement (NAM) boleh diredakan, kata penganalisis.

Bagaimanapun, aktivis yang dilantik sebagai senator itu perlu mengambil langkah drastik - berundur dari jawatan yang disandangnya sekarang.

Penganalisis politik, Prof Madya Syaza Farhana Mohamad Syukri, berkata isu tersebut menjadi rumit kerana ada kaitan dengan portfolio agama di bawah kerajaan Madani, sekali gus mudah menjadi bahan serangan daripada pembangkang.

Menurutnya ia boleh dilihat melalui dua iaitu persoalan yang timbul susulan pelantikan aktivis terbabit ke jawatan di JPM berkenaan pada tahun lalu.

“Orang nampak daripada pelantikannya tahun lepas sudah dipersoalkan latar belakang yang nampak tidak gah, dan seolah-olah kerajaan tak ada calon lain.

“Kedua, apabila terkait dengan NAM bertambah (luas) tohmahan bahawa kerajaan Madani tak berpegang pada fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah, ia lagi mudah digunakan," katanya kepada Malaysiakini.

Walaupun Marhamah sudah mengeluarkan penafian terlibat dengan NAM, kata Syaza Farhana (gambar bawah), ia belum memadai untuk meredakan - apatah lagi menyelesaikan - kemelut yang melanda.

"Tetapi kalau nak meredakan persoalan yang timbul susulan pelantikannya, mungkin peletakan jawatan boleh dipertimbangkan,” katanya lagi.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata demikian ketika diminta mengulas apakah kesan kepada kerajaan dan apa tindakan yang sepatutnya diambil oleh Marhamah dalam menangani kontroversi berkenaan.

Anggota Dewan Negara itu menegaskan dia menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bercanggah dengan syarak dan prinsip akidah.

Dia juga mengambil perhatian serius terhadap persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat berhubung dakwaan tersebut.

Tidak pasti pada masa depan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia juga menjelaskan, pertemuan dan tabayyun (siasatan) bersama Marhamah dibuat susulan dakwaan mengaitkannya dengan penyebaran amalan meditasi, perdukunan, sihir, azimat serta ajaran NAM.

Mengulas lanjut, Syaza berkata, kesan terbesar pastinya terhadap reputasi dan kredibiliti kerajaan Madani di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Apabila berkaitan isu Islam ini memang selalu dipersoalkan oleh pengkritik kerajaan Madani dan Anwar.

“Kita faham menteri agama (Zulkifli Hasan) seorang intelektual dan Marhamah pula mungkin mempunyai pengikut, tambahan pula dari Borneo.

“Tapi mungkin kredibiliti terutama dalam isu agama ini penting dan sensitif di Malaysia. Kalau dapat (buat) pelantikan (orang lain) yang lebih peka dan berpengalaman mungkin lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan sama pensyarah pengajian Islam UIAM Abu Hafiz Salleh Hudin (gambar atas) pula berpendapat penjelasan demi penjelasan oleh Marhamah dilihat bahkan lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding jawaban.

Secara peribadi, katanya, kenyataan media Marhamah yang pertama amat mendukacitakan sehingga menimbulkan banyak persoalan, manakala penjelasan kedua juga gagal untuk menjawab persoalan pokok.

“Persoalan ini telah berlegar di media sosial, tuduhan, dan juga fakta yang diberikan bukan bersifat third party (pihak ketiga). Ia adalah tangkap layar daripada tulisan-tulisan beliau sendiri. Juga rakaman-rakaman video lama yang tular semula.

“Maka sepatutnya dari awal kalau hal itu adalah fakta yang dapat dilihat dan diakui, perlu buat permohonan maaf secara terbuka, menyatakan taubat di atas perkataan-perkataan dan juga ulasan-ulasan sebelum ini.

“Isu yang timbul itu bukan isu khilaf kecil. Ia adalah satu kesilapan kerancuan dalam pemahaman akidah yang boleh membawa kepada kesesatan yang sangat jauh,” jelasnya.

Dia meletakkan keyakinan bahawa Zulkifli juga sudah memberikan panduan, pandangan, tunjuk ajar tentang apa yang sebaiknya perlu dilakukan oleh Marhamah.

“Cuma saya tidak pasti apa yang akan berlaku pada masa mendatang kerana pendedahan itu senantiasa muncul setiap beberapa jam dan setiap hari,” katanya.