Sanusi, exco Kedah ziarah pusara Hasmah lepas bermesyuarat di Putrajaya
Barisan exco kerajaan Kedah diketuai menteri besarnya Muhammad Sanusi Md Nor meluangkan masa untuk menziarahi pusara Dr Hasmah Mohamad Ali selepas mereka habis bermesyuarat di Putrajaya hari ini.
Isteri bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, itu disemadikan di Pusara Negara di Presint 20 Putrajaya kelmarin.
Pemimpin kanan PAS itu berkata, ziarah berkenaan dibuat sebaik saja mereka selesai mengadakan mesyuarat exco yang berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya.
"Selesai mesyuarat exco, kami semua bertolak ke pusara Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, ibunda negara. Turut diadakan tahli buat Allahyarhamah.
"Kita doakan agar Allahyarhamah diampunkan segala dosa, dikurniakan rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.
"Kita doakan juga ahli keluarga Tun diberikan kekuatan dan kesabaran atas pemergiannya," katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS dan PN dalam hantaran di Facebook petang ini.
Isnin lalu, Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi dan jenazahnya disemadikan pada hari.
/file/attachments/orphans/MohdAzamAbdSamat2_621182.png)
Dia turut diberikan penghormatan dengan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebagai mengenang jasa dan sumbangannya terutama dalam bidang kesihatan awam serta kebajikan masyarakat.
Bagaimanapun detik sedih itu membawa PAS menjadi sorotan ramai apabila tidak kelihatan pemimpin kanan parti tersebut - yang kini turut menguasai PN - hadir untuk menyampaikan takziah atau menziarahi jenazah.
Ia menjadi lebih diperhatikan kerana Mahathir adalah penasihat kepada empat negeri yang ditadbir PAS - dikenali sebagai SG4.
Keadaan itu mengingatkan sesetengah pihak kepada perseteruan sengit PAS dan Mahathir semasa ahli politik berusia lebih 101 tahun itu mengetuai Umno sebelum ini.
Pun begitu semalam PAS menafikan parti itu mengabaikan Mahathir, Hasmah dan keluarga mereka.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata hakikatnya PAS ada menghantar wakil untuk menziarahi keluarga bekas perdana menteri berkenaan.
“Ketua Dewan Muslimat dengan rombongan hadir tu… senior dah tu,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.
Sementara itu Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah, Mohd Azam Abd Samat, menyifatkan pemergian Hasmah sebagai kehilangan tokoh yang banyak berjasa kepada pembangunan wanita dan rakyat ketika menjadi isteri perdana menteri.
"Pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar kepada institusi keluarga negara dan Kedah," katanya.
Adun Sungai Limau itu berkata, mereka turut mengambil kesempatan menziarahi pusara seorang lagi isteri bekas perdana menteri, Endon Mahmood, iaitu isteri Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut Mohd Azam pusara kedua-dua tokoh itu terletak saling bersebelahan.
"Kami turut menziarahi pusarah Allahyarhamah Tun Endon Mahmood serta menghadiahkan bacaan tahlil dan doa," katanya.
/file/attachments/orphans/MohdAzamAbdSamatdesd_125247.png)
