PAS nafi abaikan keluarga Mahathir di saat pemergian Hasmah
PAS menafikan parti itu mengabaikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan allahyarham isterinya, Dr Hasmah Mohamad Ali, selepas tiada pemimpin atasan menziarahi kematian tersebut semalam.
Ketua penerangan parti itu, Ahmad Fadhli Shaari, berkata hakikatnya PAS ada menghantar wakil untuk menziarahi keluarga bekas perdana menteri berkenaan.
“Ketua Dewan Muslimat dengan rombongan hadir tu… senior dah tu,” katanya ringkas kepada Malaysiakini hari ini.
Sebelum itu dia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas ditanya mengapa tiada pemimpin kanan PAS hadir memberikan penghormatan atau menziarahi keluarga terbabit semalam.
Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi sebelum jenazahnya disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya pada petang hari sama.
Dia diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangannya kepada negara, khususnya dalam bidang kesihatan awam serta kebajikan masyarakat.
Keberadaan pemimpin PAS menjadi perhatian kerana tiada pemimpin atasan parti itu kelihatan memberikan penghormatan terakhir. Ia mengingatkan sesetengah pihak kepada perseteruan sengit PAS dan Mahathir semasa dia mengetuai Umno sebelum ini.
/file/attachments/orphans/shahidankassim1_398549.png)
Bagaimanapun untuk rekod PAS-PN melantik Mahathir sebagai penasihat kepada empat negeri - dikenali sebagai SG4 - yang ditadbir parti berkenaan iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Semakan Malaysiakini menunjukkan Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh, serta anggota Jawatankuasa PAS Pusat merangkap bekas Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim, ada menziarahi keluarga Mahathir semalam.
Keberadaan PAS itu lebih menarik perhatian kerana pihak yang masih berseteru dengan Mahathir dalam politik turut menghadirkan diri. Misalnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, serta isteri Najib Razak, Rosmah Mansor.
Mahathir dan Hasmah mendirikan rumah tangga pada 1956 dan dikurniakan tujuh anak.
Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan dan pernah berkhidmat dalam kesihatan awam sebelum aktif dalam kegiatan kemasyarakatan, khususnya kesihatan dan kebajikan.
Jenazah Hasmah selamat dikebumikan pada jam 6.20 petang di Pusara Negara, dengan Mahathir, anak-anak serta anggota keluarga hadir memberikan penghormatan terakhir.
/file/attachments/orphans/contoh2_902798.png)
