Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Razlan Rafii, menyelar kenyataan Penasihat DAP Lim Guan Eng berhubung dakwaan perbelanjaan berlebihan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu menegaskan, sepatutnya tiada istilah lebihan berbelanja seperti yang dibangkitkan dan Lim sebagai bekas menteri kewangan PH sepatutnya lebih bijak.

"Dari mana beliau mendapat istilah 'lebih berbelanja sebanyak RM2.1 bilion' itu?" soal Razlan dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu hadir selepas Lim mengulangi desakannya agar pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berhubung dakwaan perbelanjaan lebihan KKDW sebanyak kira-kira RM2.1 bilion berbanding peruntukan yang diluluskan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga membuat perbandingan dengan tindakan SPRM terhadap UiTM baru-baru ini kerana menyuntik kira-kira RM259 juta ke dalam syarikat pelaburan milik penuh mereka antara 2007 dan 2018 tanpa mendapat kelulusan menteri kewangan.

“Sekiranya SPRM tidak mengambil tindakan kepada Ahmad Zahid dan KKDW kerana kedudukan beliau yang tinggi, maka ia amat tidak adil kepada UiTM kerana tidak ada penguatkuasaan undang-undang yang sama rata.

“SPRM harus bertindak dengan tegas dan cepat kepada KKDW dan Ahmad Zahid agar tidak dilihat sebagai mengamalkan siasatan berpilih dan antara dua darjat,” kata Lim.

Untuk rekod, Ahmad Zahid juga merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap KKDW.

Razlan seterusnya mempersoalkan sama ada Lim memetik angka itu daripada kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mahmood Merican, sebelum ini atau mendapat penjelasan daripada kenyataan tersebut.

Dia turut meminta agar Mahmood menjelaskan kepada Lim mengenai maksud kenyataan agensi terbabit sebelum ini.

"Kementerian Kewangan perlu mengambil tanggungjawab penuh dalam memberi penjelasan kepada bekas menteri kewangan PH itu.

"Kenyataan Lim adalah berniat jahat dan sengaja untuk mencetuskan pemahaman yang mencipta pemikiran negatif," dakwanya.

Tambah Razlan, desakan Lim itu bermotifkan politik bertujuan untuk mencemarkan nama baik Presiden Umno menjelang PRN Melaka tidak lama lagi.

"Saya nasihatkan Lim supaya cermin diri sendiri dahulu sebelum membuat desakan sedemikian rupa, dan sewajarnya beliau menyelesaikan dahulu kesnya di mahkamah.

"Inilah sikap biadab DAP yang menyebabkan ahli Umno tidak boleh menerima parti ini," katanya.