Bersih menggesa ahli parlimen kekal memegang jawatan dan menunaikan mandat mereka hingga pilihan raya umum (PRU) akan datang susulan peletakan jawatan empat ahli parlimen PKR.

"Walaupun peletakan jawatan merupakan pilihan seseorang ahli parlimen, keputusan tersebut mempunyai kesan langsung terhadap seluruh kawasan yang diwakilinya.

"Tidak adil bagi pengundi sekiranya mandat yang diberikan ditamatkan tanpa terlebih dahulu mendapatkan pandangan mereka melalui rundingan yang bermakna," kata gabungan NGO itu pada satu kenyataan.

Jawatankuasa pemandu Bersih juga berkata walaupun NGO itu memahami keputusan ahli parlimen berkenaan namun bimbang kesannya terhadap kawasan yang terjejas dan usaha menuntut reformasi institusi.

“Ahli parlimen yang kritis mempunyai peranan penting untuk meneliti rang undang-undang, mengemukakan soalan, menyertai jawatankuasa dan memastikan janji reformasi ditunaikan.

"Pengunduran mereka yang kritikal akan mengurangkan suara yang boleh memperjuangkan tuntutan tersebut dalam persidangan Dewan Rakyat,” tegas Bersih.

Semalam, Lee Chean Chung yang baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Petaling Jaya, menafikan dakwaan dia “menghilangkan diri” daripada urusan parti selama lebih setahun.

Katanya, penglibatannya berkurangan selepas parti gagal mengambil tindakan berhubung dakwaan “mafia korporat”.

Dia berkata demikian sebagai maklum balas kepada presiden PKR merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dipetik media tempatan berkata Lee tidak menghadiri mesyuarat parti, termasuk kongres tahunan baru-baru ini di Melaka, sepanjang tahun lalu.

Lee berkata dia telah mengambil beberapa langkah untuk menuntut akauntabiliti berhubung kontroversi itu. Isu tersebut timbul susulan laporan Bloomberg awal tahun ini yang mendakwa sekumpulan ahli perniagaan bekerjasama dengan pegawai SPRM untuk menyasarkan syarikat, menyingkirkan eksekutif dan mengambil alih perniagaan.

Lee menyoal mengapa seorang ahli parlimen PKR yang didakwa menerima RM9.5 juta daripada ahli perniagaan terbabit tidak disiasat, sedangkan dia dihukum kerana mendesak siasatan.

Dia turut mengulangi gesaan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas dan telus ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Sementara itu, Bersih mengakui tindakan menahan peruntukan kawasan daripada ahli parlimen adalah tidak adil dan boleh menjejaskan keupayaan mereka menjalankan tugas.

Namun, ahli parlimen perlu terus bersuara walaupun berdepan tekanan kepimpinan parti, katanya, kerana perbezaan pandangan boleh mengukuhkan semak dan imbang.

Kumpulan itu menggesa kerajaan Madani berlaku adil kepada semua wakil rakyat dalam pengagihan dana pembangunan kawasan, termasuk ahli parlimen pembangkang dan pengkritik lantang.

"Bersih menyeru semua ahli parlimen supaya kekal dan meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sehingga mandat diperbaharui menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Bersih juga mendesak kerajaan Madani untuk berlaku adil kepada semua ahli p arlimen yang dipilih oleh rakyat, khususnya dalam menyalurkan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) sama rata termasuk kepada ahli parlimen pembangkang serta yang lantang mengkritik kerajaan.

"Ini adalah janji yang harus ditunaikan dan tidak seharusnya ditentukan oleh budi bicara kerajaan memerintah.

Pada Jumaat, Lee mengumumkan peletakan jawatannya dengan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap PKR berhubung beberapa isu tadbir urus, termasuk penggantungan keahliannya selama tiga tahun.

Dia mendakwa keputusan itu mungkin didorong kelantangannya mengkritik beberapa dasar kerajaan negeri dan persekutuan.

Peletakan jawatannya menyusuli tindakan Ahli Parlimen (MP) Pandan Rafizi Ramli, MP Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan MP Subang Wong Chen.

Rafizi dan Nik Nazmi kemudian menerajui Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang kemudian turut disertai Wong selepas peletakan jawatannya.