Tiada cuti umum, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, walaupun Malaysia berjaya menundukkan Vietnam buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun dalam kejohanan Piala Fifa Asean yang berlangsung petang tadi.

Bagaimanapun tanpa banyak berselindung, Anwar menyatakan kenyataan tersebut adalah sekadar gurauan.

Sebelum itu Anwar mengucapkan syabas kepada Harimau Malaya atas kejayaan tersebut.

“Syabas dan tahniah kepada Harimau Malaya atas kejayaan menewaskan Vietnam, sekali gus meraih tempat ketiga serta menamatkan saingan Fifa Asean Cup tanpa kalah dan tanpa bolos!” katanya di media sosial.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut mengucapkan terima kasih kepada pemain dan pasukan sokongan kerana memberikan kesungguhan berjuang demi negara.

“Terus melangkah, terus berjuang dan harumkan nama negara!” katanya lagi.

Terdahulu skuad Harimau Malaya menumbangkan Vietnam 1-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Ia merupakan kemenangan pertama pasukan negara dalam tempoh 12 tahun mengalahkan pasukan yang rangkingnya jauh lebih tinggi.

Untuk rekod Malaysia berada di kedudukan ke-136 dunia manakala Vietnam di kedudukan ke-99 dunia.

Jaringan tunggal anak buah Tan Cheng Hoe itu dilakar oleh penyerang muda negara yang kini beraksi di liga utama Cyprus, Fergus Tierny, pada minit ke-62.

Menyambut baik kemenangan tersebut, Anwar berkata, orang ramai tetap perlu bekerja seperti biasa esok.

“Tiada cuti umum ya, termasuk buat warga luar yang bekerja di Malaysia.

“Esok kerja seperti biasa,” katanya tersenyum.