Isu dana RM2.1 bilion: BN Selangor bidas DAP, jangan sasar Zahid guna angka terpilih
Ketika Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ditekan DAP dengan laporan SPRM, BN Selangor tampil mengingatkan bahawa mana-mana pihak tidak boleh dihukum hanya berdasarkan perbandingan angka tanpa memahami keseluruhan struktur peruntukan dan perbelanjaan kerajaan.
Pengarah Komunikasi BN Selangor Armand Azha Abu Hanifah berkata pihaknya sedar dakwaan serta persoalan yang dibangkitkan beberapa pemimpin DAP, termasuk penasihat parti itu, Lim Guan Eng, berhubung angka RM2.1 bilion yang dikaitkan dengan peruntukan dan perbelanjaan Program Jalan Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Katanya, jika benar mahu memperkukuhkan integriti pentadbiran negara, maka ketelusan, akauntabiliti dan penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira parti, kementerian atau individu.
/file/1323/3add0038ae0ce4054626d3adbcc40f81.jpeg)
"Pendirian kami jelas, jika terdapat aduan dan asas untuk siasatan, SPRM silakan menjalankan siasatan. Kita hormati institusi penguatkuasaan dan serahkan kepada proses undang-undang.
"Namun, kita tidak boleh menghukum mana-mana kementerian, pegawai kerajaan atau pihak yang terlibat hanya berdasarkan perbandingan angka tanpa memahami keseluruhan struktur peruntukan dan perbelanjaan kerajaan.
"Dalam pengurusan kewangan kerajaan, peruntukan asal bukan semestinya peruntukan akhir," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan, Anggota Parlimen Kampar, Chong Zhemin, membuat laporan SPRM terhadap Zahid yang juga menteri KKDW sekali gus menambah ketegangan antara dua parti yang menjadi sekutu dalam kerajaan Madani.
Dia turut membangkitkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, pada 1 Okt lalu bahawa suruhanjaya itu hanya mengetahui perkara berkenaan melalui laporan media dan akan bertindak selepas menerima aduan rasmi.
/file/attachments/orphans/ChongZheminddssds_813354.jpg)
Chong berkata data Kementerian Kewangan menunjukkan KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion; RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion; dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.
Jumlah perbezaan bagi tempoh tiga tahun itu ialah RM2.1 bilion.
Armand pula menjelaskan perubahan peruntukan boleh berlaku antaranya melibatkan pindahan atau tambahan peruntukan, penyusunan semula, penyelarasan peruntukan dan perubahan komitmen projek.
"Kesemuanya tertakluk kepada kelulusan dan tatacara kewangan kerajaan.
"Sebagai contoh mudah peruntukan asal RM100 juta, peruntukan selepas pindaan RM400 juta dan perbelanjaan sebenar RM314 juta. Jika dibandingkan dengan peruntukan asal, ia kelihatan 314 peratus.
"Tetapi apabila dibandingkan dengan peruntukan selepas pindaan, ia menjadi 78.5 peratus," katanya.
Justeru tegasnya, angka yang kelihatan besar tidak boleh secara automatik dijadikan bukti penyelewengan.
"Apa yang perlu diperiksa ialah keseluruhan dokumen seperti peruntukan asal, pindaan peruntukan, kelulusan pindahan, komitmen kontrak, proses perolehan, dokumen sokongan, tarikh kelulusan dan pematuhan tatacara kewangan.
"Jika ada kesalahan, ambil tindakan. Jika ada penyelewengan, dakwa. Jika bersalah, hukum. Tetapi jika semua prosedur dipatuhi, jangan gunakan angka secara terpilih untuk membina persepsi politik," kata Armand.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/3b3693a92ff226fb5eddfcc6eba2434b.jpg)
Dalam perkembangan isu berkenaan dia turut menarik perhatian terhadap isu yang dikaitkan dengan pemimpin DAP antaranya isu melibatkan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG yang digantung perkhidmatan sebagai ejen pemungut bagi pihak JPJ.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan kegagalan syarikat berkenaan memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh ditetapkan.
Jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat berkenaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September lalu adalah RM314 juta, membabitkan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan.
MYEG dilantik sebagai ejen pemungut JPJ bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Pertukaran Hak Milik Kenderaan Motor, perkhidmatan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman secara elektronik sejak 2000.
Sementara itu Armand berkata, jika terdapat persoalan mengenai kontrak, tender, pembayaran, struktur korporat atau hubungan dengan agensi kerajaan, maka lakukan pemeriksaan dan audit secara menyeluruh.
"Jangan hanya melihat satu kementerian atau satu kontrak. Lihat keseluruhan ekosistem.
"Kontrak, tender, bayaran, agensi kerajaan, struktur korporat, benefisiari dan hubungan perniagaan. Jika semuanya sah, jelaskan kepada rakyat.
“Jika terdapat pelanggaran undang-undang, ambil tindakan," jelasnya sambil menyenaraikan isu-isu lain yang dikaitkan dengan pemimpin DAP dan PH.
/file/1349/e522c2b0d203983eaab4a56587edaf94.jpeg)
Dalam perkembangan itu, Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Gulam Muzaffar Gulam Mustakim, tampil membuat laporan kepada SPRM berhubung isu membabitkan My EG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad.
Laporan itu turut menyentuh persoalan berhubung RM314 juta yang didakwa sepatutnya dibayar kepada kerajaan, selain membabitkan Loke.
Gulam Muzaffar dilaporkan berkata, laporan berkenaan dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara yang didakwa menimbulkan persoalan berdasarkan kenyataan Loke yang juga setiausaha agung DAP sebelum ini.
"Maklumat daripada laporan meupakan hasil daripada kenyataan rasmi yang dibuat oleh Loke sebelum ini sebelum saya memutuskan untuk membuat laporan kepada SPRM," katanya.
/file/attachments/orphans/ArmandAzhaAbuHanifah1_802796.png)
