DAP tekan Zahid dengan laporan SPRM, lagi retak menanti belah
Seorang Ahli Parlimen DAP membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus menambah ketegangan antara dua parti yang menjadi sekutu dalam kerajaan persekutuan.
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, menggesa badan antirasuah itu menyiasat peranan Zahid berhubung perbezaan RM2.1 bilion antara peruntukan yang diluluskan dengan perbelanjaan sebenar Program Jalan Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, kini menjadi perhatian berhubung isu tersebut.
“Aduan rasmi itu kini telah dibuat. SPRM SPRM mesti menunaikan kenyataannya dan memulakan siasatan secara bebas,” kata Chong dalam kenyataan media hari ini.
Dia turut mmembangkitkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, pada 1 Okt lalu bahawa suruhanjaya itu hanya mengetahui perkara berkenaan melalui laporan media dan akan bertindak selepas menerima aduan rasmi.
Chong berkata data Kementerian Kewangan menunjukkan KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion; RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion; dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.
Jumlah perbezaan bagi tempoh tiga tahun itu ialah RM2.1 bilion.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/d6101331a8783b628ca3f6fe49cedaa0.jpg)
Menurutnya peruntukan KKDW bagi 2026 hampir habis digunakan menjelang Jun, menyebabkan kontraktor menghadapi kesukaran mendapatkan bayaran.
Kementerian Kewangan kemudian meluluskan tambahan RM300 juta dan mula mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain untuk menampung komitmen KKDW yang melebihi had.
"Jika KKDW tidak berbelanja melebihi sumber kewangan yang tersedia, Zahid mesti menjelaskan mengapa kontraktor yang telah menyiapkan kerja tidak dibayar, dan mengapa Kementerian Kewangan terpaksa menyediakan tambahan RM300 juta serta mencari penjimatan daripada kementerian lain," katanya.
"Saya mahu SPRM menentukan sama ada kontrak dan komitmen kewangan dibuat sebelum pembiayaan mencukupi diluluskan secara sah, dan sama ada sesiapa menyalahgunakan kedudukan untuk mengarah atau meluluskannya.
"Siasatan itu juga, perlu meneliti kemungkinan ketidakteraturan dalam pemilihan kontraktor, pemberian kontrak, pengesahan pembayaran dan rekod kewangan," katanya.
Pertikaian itu tercetus pada akhir Ogos apabila Zahid menyatakan rasa tidak puas hati terhadap penyaluran dana dan menggesa supaya kontraktor yang telah menyiapkan kerja dibayar segera.
Pada 2 Sept, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, menjelaskan bahawa tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan jalan luar bandar KKDW dan dana berkenaan telah disalurkan sepenuhnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/cc958ab1d847c884ad987ef62bcdbb81.jpg)
Katanya, masalah pembayaran berlaku kerana KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunannya sejak 2022, manakala peruntukan bagi 2026 juga hampir habis digunakan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 4 Sept meminta kedua-dua kementerian itu menyelesaikan perkara itu melalui perbincangan.
Pada 7 Sept, Zahid berkata KKDW tidak akan berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan kerajaan.
Pada 30 Sept, Penasihat DAP Lim Guan Eng pula menggesa SPRM menyiasat Zahid dan mengaitkannya dengan tindakan agensi itu dalam kes UiTM Holdings.
Sebagai tindak balas, Setiausaha Politik Zahid, Razlan Rafii, menuduh Lim mempunyai motif politik menjelang pilihan raya negeri Melaka.
Dalam perhimpunan agung Umno bulan lalu, Zahid memberi isyarat bahawa kesabaran parti itu terhadap peranannya dalam kerajaan perpaduan mungkin semakin menipis.
Dengan Umno dilihat semakin mendekati PAS, dia menggesa supaya pilihan raya umum ke-16 “disegerakan” dan menyatakan hasrat parti itu untuk mengambil alih semula kerajaan persekutuan dengan mandat baharu dan bukan terus menjadi rakan junior dalam pentadbiran pihak lain.
"Sudah tiba masanya PRU16 disegerakan. Ini bukan tuntutan dan bukan juga harapan.
"Ini kehendak rakyat. Cukuplah. Berikan peluang kepada kita kali ini," katanya sambil menyandarkan keyakinan itu pada prestasi BN dalam pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan, yang menyaksikan parti itu berdepan secara langsung dengan PH.
/file/attachments/orphans/ZahidHamidi1_102252.jpg)
