Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa ia sekadar mengawal selia operasi perjudian berlesen sedia adadan dan tidak mengeluarkan sebarang lesen baharu.

Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun), yang bertanya kepada Menteri Kewangan Anwar Ibrahim sama ada Putrajaya bercadang untuk menghapuskan atau menghadkan kelulusan lesen judi untuk membolehkan pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan larangan ke atas premis judi.

Tindakan itu menyusul berikutan desakan kerajaan negeri Kedah agar Putrajaya membantunya melaksanakan semula larangan perjudian di negeri itu, selepas larangan yang dikuatkuasakan sendiri oleh negeri berkenaan dibatalkan oleh mahkamah.

“Sebarang langkah perubahan dasar pelesenan perlu mengambil kira sudut bidang kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan dan sudut risiko peningkatan aktiviti tidak berlesen (pasaran gelap).

“Kerajaan sentiasa komited dalam usaha menilai keberkesanan kerangka kawal selia sedia ada dan akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi memastikan aktiviti perjudian berlesen beroperasi dalam lingkungan undang-undang yang ditetapkan bagi memelihara kesejahteraan sosial masyarakat majmuk,” kata kementerian kewangan dalam jawapannya.

Pada 2023, Kedah menjadi negeri ketiga mengharamkan premis perjudian berlesen, mengikuti jejak Kelantan dan Terengganu yang dipimpin PAS.

Walau bagaimanapun, usahanya untuk mengharamkan premis perjudian terhenti susulan keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas yang mendapati bahawa kawal selia perjudian dan loteri berada di bawah bidang kuasa eksklusif Kementerian Kewangan.

Pada 12 Ogos, Mahkamah Persekutuan menolak kebenaran untuk merayu, sekali gus menamatkan usaha kerajaan Kedah untuk mengharamkan perjudian.

PAS dan Putrajaya sejak itu terlibat dalam perbalahan kenyataan berhubung isu berkenaan, dengan Menteri Besar Sanusi Nor memberitahu Anwar bahawa dia akan dimaki oleh rakyat Kedah jika dia membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri itu.

Setiausaha akhbar kanan Anwar, Tunku Nashrul Abaidah kemudian mengingatkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional pernah meningkatkan jumlah cabutan khas perjudian daripada delapan kepada 22 kali setahun.

"Sebaliknya, Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun,” kata Nashrul.