Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Anwar kalau buat judi di Kedah, hang memang celaka, pelaq’
Diterbitkan:  Aug 26, 2026 12:44 PM
Dikemaskini: 6:55 AM
1

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan dimaki oleh rakyat Kedah jika dia membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri itu, demikian amaran Menteri Besar Sanusi Md Nor.

Dia berkata kerajaan negeri sudah melakukan apa yang terdaya untuk menghalang aktiviti berkenaan apabila melaksanakan larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri di negeri itu.

Bagaimanapun, larangan yang dikuatkuasakan pada 2023 itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan melalui keputusan pada 12 Ogos.

Susulan itu, keputusan kini berada di tangan Anwar, yang juga memegang portfolio menteri kewangan, kata Sanusi.

“Maka bola berada di tangan menteri kewangan yang namanya semua tuan-tuan tahu dah–hang nak lulus ka hang tak lulus?

“Kalau hang lulus hang memang celaka bagi orang Kedah. Kita nak kata apa lagi?

“Orang Kedah akan mencelakakan hang kerana hang lulus. Bahasa kedah kata pelaq,” katanya dalam loghat Kedah dalam ucapan di Alor Setar, malam tadi.

Anwar Ibrahim

Sesi tersebut dianjurkan oleh badan penerangan kerajaan negeri Kedah, Urus Setia Penerangan Darul Aman, bagi menjelaskan situasi selepas keputusan mahkamah berkenaan.

Dalam ucapannya, pemimpin pusat PAS itu turut menyeru rakyat Kedah mendoakan balasan Tuhan terhadap pihak yang didakwa berada di belakang cabaran undang-undang terhadap larangan perjudian di Kedah.

Sanusi malah mendakwa dia mengetahui identiti “tauke” yang didakwa membiayai tindakan mahkamah itu dan berkata dia mendedahkannya apabila tiba masa.

“Tuan-tuan doa la bagi dia pecah perut. La ni (sekarang) tak boleh sebut, kes mahkamah tak selesai lagi.

“Kita akan berdoa tiap-tiap hari, sebut nama dia bagi Tuhan bagi dia pecah perut. Boleh ka lagu tu? Kita boleh (buat) pasal hang jahat.

“Dah kami tak terdaya dah. Oleh kerana hang kaya, dunia ini siapa kaya dia ada kuasa dan orang ada kuasa bergantung di kaki-kaki orang kaya,” katanya.

Sanusi berkata perjudian ialah satu lagi masalah yang dibawa oleh British dan migran Cina pada tahun 1900-an selepas candu.

Menurutnya, pelesenan aktiviti candu dan perjudian oleh British hanya memberi manfaat kepada kuasa penjajah dan tauke Cina, manakala mangsanya ialah rakyat biasa, termasuk orang Melayu dan Cina.

Istana Kehakiman, gambar hiasan

Pada 12 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mendapati dasar Kedah enggan memperbaharui lesen perniagaan berkaitan perjudian adalah melanggar perlembagaan kerana menceroboh kuasa persekutuan.

Keputusan itu sekali gus menghentikan usaha undang-undang kerajaan Kedah untuk menguatkuasakan larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri di negeri berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS