Polis sedang menyiasat sama ada empat pemilik sebuah syarikat penerbangan persendirian yang dikaitkan dengan rampasan syabu seberat 521kg di Laos, termasuk dua rakyat Malaysia, terlibat dalam sindiket antarabangsa itu atau turut dipergunakan oleh pengedar dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Hussein Omar Khan berkata siasatan awal menunjukkan perkhidmatan syarikat itu disewa khas untuk penerbangan dari Laos ke Filipina.

“Kita masih menyiasat adakah mana-mana pemilik syarikat ini terlibat dengan sindiket ini, atau mereka juga telah digunakan oleh sindiket,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Hussein menamakan dua entiti berkaitan yang berdaftar di Kemboja sebagai Birdie Jet Co Ltd dan Birdie Jet 2 Co Ltd.

Operasi berkenaan mempunyai pejabat di Malaysia dan dua jet yang berpangkalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Siasatan tertumpu pada sebuah pesawat Learjet 55B dengan nombor pendaftaran N73GP, yang berlepas dari Subang kira-kira jam 11.30 pagi pada 1 Okt dengan membawa seorang juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia dan penumpang warga Filipina.

Pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira dua jam kemudian tanpa membawa kargo.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Laos merampas 21 beg pakaian berisi 500 bungkusan syabu seberat 521kg manakala dua lagi beg mengandungi barangan peribadi.

Hussein hari ini berkata perkhidmatan penerbangan persendirian itu mula beroperasi pada Julai lalu dan sejak itu melaksanakan sembilan tugasan melibatkan VIP, kargo dan pasukan perubatan di Asia Tenggara, Taiwan dan Timur Tengah.

Sewaan AS$49,500

Penerbangan ke Laos, yang merupakan tugasan kelapan syarikat itu, ditempah pada 23 Sept oleh seorang individu yang dipercayai berasal dari Filipina.

Sewaan bernilai AS$49,500 itu dikatakan bertujuan mengangkut produk vape dari Laos ke Filipina

"Ini tertera dalam manifest yang didapati di Lapangan Terbang Subang dan pihak berkuasa Laos.

"Kita percaya dari siasatan awal, perkhidmatan syarikat ini telah digunakan untuk tujuan menyeludup dadah dari Laos ke Philippines.” katanya.

Polis turut menyiasat sama ada Malaysia dirancang untuk memainkan sebarang peranan dalam operasi penyeludupan itu.

“Setakat ini apa saya boleh sahkan dadah itu bukan dari Malaysia ke Laos,” kata Hussein.

Dia turut merujuk kedudukan Laos yang berhampiran Segi Tiga Emas, sempadan negara itu dengan Myanmar dan Thailand yang terkenal sebagai antara pusat operasi kartel dadah antarabangsa.

Menurut Hussein, pergerakan dadah yang disyaki itu lebih selaras dengan aliran dadah keluar dari rantau berkenaan.

“Suka saya ingatkan, Laos ini, Golden Triangle terletak di mana? Pergerakan itu dari sana ke sini dan bukan sebaliknya. Tidak logik dibawa dari sini ke sana,” katanya.

'Dalang disyaki dari Filipina’

Ditanya jika polis percaya dalang sindiket itu berasal dari Filipina, Hussein berkata: “Buat masa ini, kita percaya dari Filipina.”

Maklumat mengenai individu yang dipercayai membuat tempahan itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina untuk dikenal pasti.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menunggu kebenaran pihak berkuasa Laos untuk menghantar pegawai ke negara itu.

“Kita kena hormati prosedur siasatan mereka,” kata Hussein.

Pihak berkuasa Laos menahan 13 individu susulan rampasan itu, termasuk tiga individu di dalam jet berkenaan, tiga pekerja perkhidmatan darat dan tujuh kakitangan lapangan terbang yang mengendalikan mesin sinar-X.

Di Malaysia, polis menahan seorang rakyat Malaysia dan tiga individu lain di Lapangan Terbang Subang pada 7 Okt untuk siasatan lanjut.

Hussein mengesahkan hari ini keempat-empat individu yang dikaitkan dengan penerbangan itu telah dibebaskan ketika skop siasatan diperluas.

Katanya, doktor, jururawat, juruterbang dan pembantu juruterbang itu sepatutnya berlepas untuk tugasan kesembilan syarikat berkenaan, iaitu membawa seorang pesakit ke Jepun melalui Manila.

Polis telah bertukar maklumat risikan dengan pihak berkuasa Laos dan Filipina untuk mengenal pasti anggota sindiket lain, terutama mereka yang mungkin mempunyai kaitan dengan Malaysia.