BELANJAWAN 2027 | Syarikat - kecuali perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) - hanya boleh menuntut potongan cukai ke atas perbelanjaan gaji sekiranya mereka membayar gaji melalui akaun bank atau saluran lain yang diluluskan, umum Anwar Ibrahim.

Membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, perdana menteri merangkap menteri kewangan itu berkata langkah tersebut bertujuan menutup ruang bagi majikan daripada mengambil pekerja asing tanpa izin.

“Terkait hal gaji bagi menutup ruang majikan menggaji pekerja asing tanpa izin, syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya ia dibayar melalui akaun bank selaras dengan saluran dibenarkan,” katanya.

Menurut Anwar, langkah itu berkesan untuk menambah implikasi cukai ke atas peraturan buruh sedia ada yang menghendaki gaji dibayar melalui institusi kewangan yang diiktiraf, di samping mewujudkan kesan penggajian yang boleh dijejak bagi syarikat lebih besar.

Mengikut Akta Kerja 1955, gaji secara amnya perlu dibayar melalui institusi kewangan, manakala majikan mesti memperoleh kelulusan terlebih dahulu daripada Jabatan Tenaga Kerja sebelum mengambil pekerja asing.

Pengumuman Anwar itu dibuat berikutan peningkatan tindakan penguatkuasaan terhadap majikan yang dituduh mengambil atau melindungi migran tanpa izin.

Minggu lalu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata seramai 1,809 majikan ditangkap atas kesalahan sedemikian setakat 29 Sept tahun ini dengan 1,692 daripada mereka adalah warga tempatan.

Jumlah itu mencerminkan peningkatan tindakan yang lebih luas terhadap majikan apabila tangkapan meningkat daripada 346 pada 2023 kepada 1,859 pada 2024 dan 2,202 pada tahun lalu.

Saifuddin berkata penguatkuasaan tidak sepatutnya ditujukan hanya kepada migran tanpa izin, tetapi juga kepada pihak yang menggajikan, melindungi atau mengeksploitasi mereka.

Kerajaan juga memberi amaran bahawa mengambil pekerja sedemikian boleh menyumbang kepada ancaman keselamatan negara.

Dalam tempoh yang sama tahun ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan 10,374 operasi di seluruh negara, memeriksa 137,603 individu dan menangkap 37,313 migran tanpa izin.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan JIM semakin mengalihkan tumpuannya kepada majikan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan "faktor penarik" yang mengundang pekerja tanpa izin ke negara ini.

Isu ini juga dirumitkan oleh program pemutihan lalu.

Melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK), majikan sebelum ini dibenarkan memutihkan pekerja asing tanpa izin yang tinggal lebih masa atau tidak mempunyai permit kerja yang sah.

RTK 1.0 diperkenalkan pada Dis 2020, manakala RTK 2.0 dijalankan dari Jan hingga Dis 2023.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama RTK 2.0 sahaja, lebih 720,000 migran tanpa izin telah didaftarkan oleh 51,753 majikan.

Terdapat juga laporan mengenai dakwaan penyalahgunaan yang melibatkan program tersebut, termasuk dakwaan sindiket yang melibatkan orang dalam JIM dan ejen yang memanipulasi permohonan serta mengenakan bayaran tambahan untuk kelulusan.

Dengan mengaitkan potongan cukai gaji kepada saluran pembayaran gaji yang diiktiraf, Belanjawan 2027 bertujuan menyukarkan penggajian tidak rasmi bagi syarikat besar di samping memperkukuh tindakan tegas kerajaan terhadap buruh tanpa izin yang semakin menumpukan kepada majikan.

Pengumuman itu juga dibuat pada hari yang sama Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) dikeluarkan Jabatan Negara AS terkini mengekalkan kedudukan Malaysia pada Tahap 2 namun mengetengahkan kelemahan berterusan dalam sistem pengambilan pekerja migran kerajaan.

Laporan itu menyorot Malaysia tidak mendakwa mana-mana agensi pekerjaan di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta dalam tempoh penilaian terkini, walaupun dapatan menunjukkan ramai pekerja migran terus membayar yuran pengambilan melebihi kadar yang dibenarkan, sekali gus mendedahkan mereka kepada paksaan berasaskan hutang dan buruh paksa.

Walaupun langkah belanjawan oleh Anwar bertujuan mewujudkan jejak penggajian yang lebih jelas dengan mengaitkan potongan cukai kepada saluran pembayaran gaji yang diiktiraf, dapatan Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) menunjukkan jurang penguatkuasaan yang lebih luas melibatkan perekrut dan orang tengah sebelum pekerja memasuki sektor pekerjaan formal.