Pemuda Umno Malaysia menganggap tindakan bekas pegawai kanan bahagian komunikasi BN, Eric See-To sebagai melampau kerana dianggap mempersenda ayat al-Quran.

Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, malah menyelar tindakan See-To sebagai “bangang” dan berpendapat perselisihan politik tidak wajar melampau sehingga ke tahap itu.

Langkah lanjut yang dituntut Pemuda Umno Malaysia, menurut Akmal, ialah agar See-To memohon maaf secara terbuka atas tindakannya itu.

“Apalah bangang sangat ayat-ayat al-Quran nak dipermainkan.

“Kamu nak berpolitik, itu kamu punya pasal tetapi apabila ayat al-Quran dipelekehkan sebegini rupa, maka ia adalah tindakan yang melampau,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Nama See-To tular dan mengundang kemarahan sesetengah pihak ekoran hantarannya mengenai istilah unik digunakan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, semasa membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat semalam.

Antara perkataan yang menarik perhatian bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN itu ialah lighad yang menjadi sebahagian daripada ayat ke-18 surah al-Hashr.

See-To kemudian membuat komen: “Yang saya tengok ialah ada lighad yang saya tak tahu langsung apa (maksudnya) itu. Tapi tak ada ‘liwat’ pula.”


Baca Kata langka dari mulut Anwar ketika bentang Belanjawan 2027


Turut disindir See-To ialah ungkapan pranata yang bermaksud institusi atau sistem. Terkait dengan istilah tersebut – yang biasanya digunakan dalam bahasa Indonesia – See-To menulis secara sinis: “Pranata tu sama dengan Planta tak?”

Tangkap layar komen See-To itu kemudian tular di media sosial.

Menjelaskan tindakannya itu melalui hantaran lain See-To bverkata dia tidak mengina al-Quran sebaliknya komen tersebut merujuk kepada istilah lighad yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian sebagai antara perkataan unik dalam ucapan Anwar semalam.

“Dalam konteks itu, saya mengulas penggunaan perkataan, bukannya memperlekeh ayat suci.

“Sesuatu perkataan (dari) bahasa Arab tidak menjadi istilah khusus agama semata-mata kerana perkataan itu turut digunakan dalam al-Quran,” katanya.

Dia kemudian menyalahkan Anwar kerana menggunakan istilah berkenaan.

“Siapa suruh PMX (Anwar) guna perkataan yang ramai orang awam tak faham dalam ucapan bajet (belanjawan)?

“Kalau maksudnya ‘untuk masa depan’, sebut sajalah ‘untuk masa depan. Bajet untuk rakyat faham,” katanya.

Mengulas lanjut tindakan See-To, Akmal berkata pihaknya akan mengambil tindakan lanjut atas apa yang berlaku.

“Kami desak untuk kamu mohon maaf secara terbuka dan laporan polis juga akan dibuat atas tindakan bodoh kamu ini!” katanya.