Seorang senator PAS tampil mempertahankan Eric See-To yang menjadi sasaran kecaman sesetengah pihak kerana dianggap mempersenda al-Quran dengan mengaitkan salah satu ungkapan kitab suci itu dengan “liwat”.

Pada pandangan Nik Abduh Nik Abdul Aziz, orang ramai wajar berlaku adil ke atas bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN itu terkait kontroversi perkataan lighad yang diungkapkan semasa Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lalu.

Nik Abduh yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Pusat berkata dari sudut linguistik, istilah berkenaan sebenarnya merupakan gabungan dua perkataan bahasa Arab iaitu huruf lam dan kalimah ghadin (li ghadin) yang membawa maksud "untuk hari esok" atau masa depan.

Namun, katanya, apabila disambung dan dieja dalam tulisan rumi sebagai satu kata menjadi lighad, ejaan tersebut menimbulkan kekeliruan yang sukar difahami oleh orang awam, khususnya orang bukan Islam.

“Semua orang tahu dia (See-To) nak bergurau, sindiran politik. Tanpa dia sedar, itulah yang perlu kita pegang (simpulkan) – bahawa dia tidak berniat langsung (menghina).

“So, kita jangan menzalimi dia,” katanya dalam satu slot audio siar yang dikongsi di media sosial semalam.

Beberapa hari lalu See-To menjadi kecaman sesetengah pihak kerana dianggap mempersenda ayat al-Quran yang dipetik Anwar – selaku menteri kewangan dan perdana menteri – di Dewan Rakyat.

Dalam satu daripada hantaran dibuatnya di media sosial, dia mengaitkan ungkapan lighad dengan liwat, selain “pranata” dengan jenama marjerin Planta.

Lighad dan pranata adalah antara ungkapan agak langka digunakan Anwar dalam pembentangan berkenaan.

Ia mengundang kritikan keras daripada Pemuda Umno Malaysia serta pihak-pihak lain.

Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, menuntut Ess-To agar membuat permohonan maaf.

Pada masa sama individu terbabit – yang turut dikenali sebagai Lim Sian See -mempertahankan diri dengan menafikan dia mempersenda al-Quran.

Dalam konteks komennya itu, See-To berkata, sesuatu perkataan dari bahasa Arab tidak menjadi istilah khusus agama semata-mata kerana perkataan ia turut digunakan dalam al-Quran.

Dia kemudian menyalahkan Anwar kerana menggunakan istilah berkenaan dalam pembentangan belanjawan.

“Siapa suruh PMX (Anwar) guna perkataan yang ramai orang awam tak faham dalam ucapan bajet (belanjawan)?

“Kalau maksudnya ‘untuk masa depan’, sebut sajalah ‘untuk masa depan. Bajet untuk rakyat faham,” katanya. https://www.malaysiakini.com/news/886753-lighad-bukan-liwat-pemuda-umno-tuntut-maaf-see-to-salahkan-anwar

Tambah Nik Abduh, See-To tidak pernah ada rekod mempersenda Islam, bahkan dilihat sentiasa kawan-kawan berlainan agama.

Dalam kes lighad, kata Nik Abduh, See-To sendiri mengakui dia tidak tahu ia adalah istilah yang ada dalam al-Quran.

Nik Abduh yang pernah mendapat undi tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat itu mengingatkan menghukum seseorang secara semberono dan mengabaikan niat pelaku adalah perbuatan yang tidak adil.

Katanya ketetapan itu juga terpakai ke atas orang Islam.

“Allah Ta'ala mengangkat kesalahan (seseorang Muslim) dengan sebab (melakukan sesuatu akibat) kejahilan, dengan sebab tak tahu, niat lain. Itu ada dalam dalam al-Quran,” katanya lagi.