PARLIMEN | Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan peraturan bagi menangani isu ulat tiket (scalping) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sedia ada, dan bukannya menunggu sehingga undang-undang khusus yang baru diluluskan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata isu-isu yang akan ditangani termasuk bagaimana amalan penjualan semula tiket pada harga tinggi (scalping) harus ditakrifkan dari segi undang-undang, skop aktiviti yang terlibat, kawalan terhadap pembelian secara pukal oleh individu atau bot automatik, serta sama ada pembelian tiket perlu dikaitkan dengan nama atau dokumen pengenalan diri pembeli.

“Setakat ini tak ada undang-undang khusus untuk isu ulat tiket atau scalper. Namun KPDN sedang menjalankan libat urus bersama dengan event organisers untuk benchmarking dengan hasrat untuk mewujudkan satu kerangka undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab hari ini.

Menjawab pertanyaan daripada Isam Mohd Isa (BN-Tampin), Armizan berkata peraturan tersebut boleh berkuat kuasa seawal tahun depan, dengan proses penggubalannya dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan.

Armizan menyatakan bahawa Seksyen 15(1) Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan memberikan kuasa kepada kementerian untuk memperkenalkan peraturan bagi membendung amalan penjualan semula tiket pada harga tinggi.

Kementerian sedang mengkaji pendekatan yang diguna pakai di Australia, Ireland, Kanada, Jepun, Taiwan dan Singapura.

Armizan berkata pembelian secara pukal sering menyumbang kepada pasaran penjualan semula tiket, di mana tiket kemudiannya boleh dijual semula pada harga yang jauh lebih tinggi.

Isu ini telah mendapat perhatian kerajaan sejak perebutan tiket konsert Coldplay pada 2023, apabila laporan mengenai tiket yang dijual semula pada harga melambung tinggi mencetuskan desakan untuk mewujudkan perundangan khusus bagi menangani isu tersebut.

Isu ini timbul semula semasa konsert-konsert besar yang berikutnya, termasuk kes di mana tiket diiklankan semula pada harga beberapa kali ganda lebih tinggi daripada harga asal.

Baru-baru ini, kementerian memaklumkan bahawa ia sedang mengkaji perundangan khusus untuk menangani penjual semula tiket (scalpers), termasuk penggunaan bot automatik untuk membeli tiket secara pukal.

Kenyataan Armizan hari ini membayangkan bahawa KPDN kini sedang mempertimbangkan penggunaan peraturan subsidiari di bawah akta sedia ada sebagai langkah yang lebih pantas untuk mengawal selia amalan tersebut.

Dia berkata kementerian juga sedang mengkaji cara menyesuaikan peruntukan antipencatutan sedia ada untuk menangani isu penjualan semula tiket pada harga tinggi.

Dia menjelaskan bahawa kaedah pengiraan pencatutan semasa memerlukan data jualan bagi tempoh tiga tahun, yang mungkin tidak sesuai untuk acara sekali sahaja seperti konsert.

Semasa sesi soalan tambahan, Isam bertanya mengenai langkah interim yang telah diambil oleh kerajaan sementara rangka kerja kawal selia sedang dibangunkan, serta bila langkah-langkah tersebut boleh mula berkuat kuasa.

Armizan berkata KPDN telah melaksanakan usaha kesedaran pengguna bagi mengurangkan risiko pembeli yang menjadi mangsa penjual tiket spekulatif dan penipuan.

Kementerian juga telah meminta penganjur acara untuk memantau pembelian secara pukal secara sukarela memandangkan tiada peraturan khusus buat masa ini.

"Oleh sebab tiada undang-undang pada masa ini, mereka perlu memantau sendiri aktiviti sedemikian dan memikul tanggungjawab itu secara sukarela selaku penganjur acara," katanya.

Armizan menambah bahawa langkah-langkah yang dicadangkan itu tidak perlu dibentangkan di Parlimen sekiranya diperkenalkan sebagai peraturan.

"Walau bagaimanapun, terdapat proses yang terlibat dalam memperkenalkan peraturan tersebut. Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan.

"Kami berharap peraturan itu dapat dikuatkuasakan pada tahun hadapan," katanya.