MP: Nama saja Sri Aman, tapi kesihatan kami tak aman
PARLIMEN | Aman pada nama, tetapi tidak pada realiti. Itu yang dinyatakan seorang ahli parlimen semasa membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Menyentuh situasi kemudahan kesihatan di Sri Aman di Sarawak, ahli parlimen kawasan itu, Doris Sophia Brodi, berkata penduduk setempat berada dalam keadaan “gundah-gulana” ketika ini.
Hal itu kerana, katanya, Klinik Kesihatan (KK) Sri Aman kini beroperasi dalam keadaan yang begitu membimbangkan, dengan jumlah pesakit jauh melebihi kapasiti asal, selain masalah struktur bangunan.
Katanya, dia bersama Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) sebagai timbalan menteri kesihatan melawat klinik berkenaan pada 18 Jan 2024 dan mendapati kemudahan kategori empat itu menampung antara 300 hingga 500 pesakit sehari.
Lebih membimbangkan, katanya, laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertarikh 6 Dis 2023 merekodkan mendapan tanah dan keretakan serius pada bangunan tersebut sehingga 12 milimeter.
“Kami di Sri Aman, Puan Yang Dipertua, walaupun namanya Aman tapi hakikatnya dari segi kesihatan kami tidak aman,” katanya berbahas ketika sidang Dewan Rakyat dikedalikan timbalan speaker, Alice Lau.
Menurut Doris KK Sri Aman sudah dikenal pasti sebagai bangunan tidak selamat untuk diduduki oleh JKR.
“Namun sehingga kini, walaupun hampir tiga tahun, rakyat kami di Sri Aman masih seperti pungguk merindukan bulan,” katanya.
Dalam ucapannyna juga Doris mempersoalkan mengapa cadangan pembinaan Kompleks Kesihatan Bersepadu Sri Aman masih belum diluluskan walaupun isu itu telah berulang kali dibangkitkan.
Katanya perkara itu pernah disentuh dalam Belanjawan 2025, Rancangan Malaysia Ke-13 dan perbahasan perbekalan 2026.
“Adakah kita masih memerlukan satu lagi laporan, satu lagi mesyuarat, satu lagi proses birokrasi dan (menunggu) perkara yang tidak diingini berlaku sebelum tindakan diambil?” soalnya.
Menurut Doris, pesakit di kawasan tersebut masih terpaksa menunggu di bawah kanopi sementara yang disediakan di KK Sri Aman, dan mereka terdedah kepada panas, hujan serta jerebu.
Pada masa sama, tegasnya, doktor dan kakitangan kesihatan pula bekerja dalam keadaan semakin tertekan di bangunan KK berkenaan.
Justeru dia mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi penjelasan mengenai status kelulusan peruntukan serta garis masa pelaksanaan projek berkenaan.
“Keselamatan pesakit tidak boleh ditangguhkan atas alasan birokrasi,” katanya.
Dalam perbahasan sama, Doris turut membangkitkan isu kekurangan tenaga kerja kesihatan di Sarawak.
Dia mendakwa daripada 20 pegawai perubatan yang dijadualkan bertugas di Hospital Sri Aman, hanya enam dilaporkan hadir pada 28 Sept lalu.
Sehubungan itu, dia meminta KKM mengesahkan angka berkenaan serta memperincikan jumlah pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan, yang telah melaporkan diri dan yang tidak berbuat demikian.
Doris turut mengulangi gesaan supaya autonomi kesihatan Sarawak diperkukuh dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam aspek pengambilan tenaga kerja, kuasa membuat keputusan dan penyampaian perkhidmatan.
“Ini bukan tuntutan untuk mencabar kerajaan persekutuan. Ini tuntutan agar keputusan dapat dibuat dengan lebih fleksibel, pantas dan bersesuaian dengan realiti geografi Sarawak,” tegasnya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/fasdaadasd_728607.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.