PARLIMEN | Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mencadangkan kerajaan mewujudkan pusat penempatan terkawal untuk pelarian Rohingya seperti ketika Pulau Bidong dijadikan kem pelarian bagi Vietnam pada masa lalu.

Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Fadhli mempersoalkan sama ada kerajaan masih tiada penyelesaian khusus untuk warga Rohingya , ketika semakin ramai rakyat bimbang dengan kehadiran mereka.

"Rakyat sudah sesak dengan isu itu, malah di kawasan saya (Pasir Mas- Kelantan) ada sekolah yang dibina oleh pelarian berkenaan.

"Saya mencadangkan kerajaan bertindak lebih keras dan tegas, termasuk memburu mereka yang melakukan kesalahan serta menjalankan kajian kos dan kebolehlaksanaan bagi pusat penempatan (seperti Pulau Bidong) itu.

"Jika kapasiti 200,000 tidak mampu disediakan, katanya, kajian boleh dibuat untuk 10,000 atau 20,000 orang, di bawah kawalan yang tegas oleh pegawai yang dilantik," katanya.

Walaupun, pemimpin PAS itu mengakui isu itu berpaksikan kemanusiaan, tetapi berkata rakyat kini tidak mampu melihat keadaan itu berlanjutan.

Dia memahami usaha diplomasi kerajaan, namun menegaskan ia tidak boleh disamakan dengan rundingan Tunku Abdul Rahman dengan pemimpin komunis Chin Peng.

"Pemimpin komunis itu tidak diraikan dengan karpet merah dan hanya berunding di sebuah bangunan sekolah bagi menunjukkan tiada pengiktirafan kerajaan ketika itu.

"Bila berunding dengan pengganas, bila berunding dengan orang yang tidak diiktiraf, maka paling tidak kena ada suatu penyelesaian yang cukup konkrit," katanya.

Pada penghujung 1970-an, Malaysia menerima pelarian Vietnam yang melarikan diri akibat peperangan. Bermula dengan hanya 121 orang, jumlah mereka akhirnya meningkat sehingga hampir 250,000 orang.

Malaysia membantu mereka selama kira-kira 12 tahun atas dasar kemanusiaan. Namun menjelang awal 1990-an, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan pelarian yang layak akan ditempatkan di negara ketiga, manakala yang gagal saringan perlu dihantar pulang ke Vietnam. Keputusan itu tidak diterima sebahagian pelarian.

Mereka merusuh menggunakan lembing, parang, pedang dan senapang patah kerana enggan pulang. Akibat kejadian itu, 10 anggota keselamatan Malaysia cedera ketika menjalankan tugas.

Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat bahawa proses pendaftaran dalam talian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai punca utama kesukaran Malaysia menguruskan pelarian yang sudah berada di negara ini.

Ketika menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Saifuddin berkata individu boleh memohon status pelarian dari luar negara dan memasuki Malaysia sebagai pelancong atau menggunakan pas sosial sebelum UNHCR membuat keputusan.

Mereka kemudian berkumpul setiap minggu di hadapan pejabat UNHCR di Kuala Lumpur untuk bertanya status permohonan.

"Kita ini bercakap tentang hiliran. Yang huluan itu adalah menjadi punca masalah," katanya.

Radzi turut bertanya sama ada Malaysia wajar menghidupkan semula pendekatan terhadap pelarian Vietnam dahulu, iaitu menempatkan mereka di kem khusus.

Saifuddin menjawab isu itu diselesaikan dengan cara berbeza kerana Malaysia menetapkan penghantaran pulang sebagai syarat menyokong kemasukan Vietnam ke Asean, dan menambah bahawa situasi kini lebih rumit kerana melibatkan pelarian dari pelbagai negara.