Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, mempertahankan hubungan rapatnya dengan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, sambil menegaskan bahawa hubungan mereka tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tanda dia berniat untuk meninggalkan PKR.

“Saya rapat dengan Rafizi. Takkan kerana dia dah keluar membentuk Bersama saya nak bermasam muka tak boleh bercakap dengan dia, takut nak jumpa dia? Tak bolehlah.

"Kita manusia. Dia ada pendirian dia, saya ada pendirian saya," kata Zahir kepada Malaysiakini ketika ditemui di Parlimen.

Dia berkata perbezaan politik tidak seharusnya menghalang bekas rakan seperjuangan daripada mengekalkan hubungan, sambil menambah bahawa menguruskan hubungan seumpama itu memerlukan tahap kematangan yang lebih tinggi.

"Kalau sekarang ini dalam kerajaan perpaduan kita nampak ada pergeseran berlaku dalam kalangan anggota-anggota backbenchers kerajaan perpaduan, saya rasa pertembungan itu lebih mencabar, lebih merosakkan, lebih memusnahkan daripada saya berhubung dengan Rafizi,” katanya.

Zahir turut merujuk kepada hubungannya dengan bekas pemimpin PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang kawasan Parlimennya, Setiawangsa, bersempadan dengan Wangsa Maju.

"Kita pernah bersama dalam parti yang sama, jadi takkanlah nak berhubung pun tak boleh? Bertukar-fikiran pun tak boleh? Saya rasa itu tak menunjukkan kematangan," katanya.

Zahir dianggap sebagai sebahagian daripada kumpulan ahli parlimen PKR yang sealiran dengan Rafizi, khususnya mengenai isu tadbir urus dan reformasi institusi.

Persepsi itu semakin kuat selepas dia menghadiri acara pada bulan Mei ketika Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada PKR dan penglibatan mereka dalam Bersama.

Bagaimanapun, Zahir pada masa itu menyatakan dia akan kekal dalam PKR dan berkhidmat sehingga tamat penggal parlimennya.

Dia juga sebelum ini pernah menyertai Rafizi serta beberapa ahli parlimen PKR lain—sama ada yang masih berkhidmat mahupun bekas ahli parlimen—dalam mencabar kerajaan secara terbuka berhubung isu reformasi institusi, dasar pekerja asing, dan peruntukan kawasan pilihan raya.

Sejak itu, dua lagi ahli parlimen yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan yang sama, iaitu Wong Chen dan Lee Chean Chung, telah mengosongkan kerusi mereka dan keluar daripada parti.

Apabila ditanya sama ada tindakan mereka keluar parti mengubah pendiriannya, Zahir berkata setiap ahli parlimen menghadapi situasi berbeza dan bertindak berdasarkan prinsip masing-masing.

"Sekarang saya ahli parlimen, status-quo saya sebagai ahli parlimen yang mempunyai tanggungjawab yang akan saya teruskan.

"Itu tumpuan saya sekarang, terus berperanan sebagai ahli parlimen sebaik yang mungkin, seberkesan yang mungkin, untuk memberi khidmat terbaik kepada pengundi-pengundi Wangsa Maju," katanya.

Zahir menambah bahawa dia telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden PKR, mengenai niatnya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan dan membangkitkan beberapa isu, termasuk perkara berkaitan bencana.

Ditanya sama ada dia masih aktif dalam PKR susulan kenyataan Anwar baru-baru ini bahawa Lee sudah lama tidak menghadiri mesyuarat parti, Zahir berkata dia terus menghadiri program-program parti.

“Mesyuarat dan program parti contohnya kongres parti yang terakhir (di Melaka) saya hadir, saya mendengar ucapan dasar presiden. Itu pendirian saya dan itu yang saya buat,” katanya.

Menjawab persoalan sama ada dia masih menganggotai Majlis Pimpinan Pusat PKR, Zahir berkata ahli-ahli parlimen PKR turut menghadiri sesi khas yang dibuka kepada semua wakil rakyat parti itu.

Dalam perkembangan berasingan, Zahir berkata landskap politik kini kelihatan semakin menjurus kepada persaingan terbuka tanpa batasan, di tengah-tengah spekulasi bahawa pilihan raya umum akan datang mungkin menyaksikan PH berpisah daripada sekutu semasa dalam kerajaan.

Dia berpendapat bahawa pengundi di Kuala Lumpur semakin bersedia untuk menilai calon secara bebas, tanpa terikat dengan pertimbangan mengenai gabungan parti.

“Sudah wujud trend di mana pengundi semakin meletakkan nilai yang lebih tinggi kepada calon berbanding parti,” katanya.

Zahir menambah bahawa parti-parti politik tidak seharusnya memandang rendah terhadap pengundi atau hanya menumpukan perhatian kepada isu-isu jangka pendek.

"Akhirnya saya kira kita tidak boleh memperbodohkan rakyat. Pemerkasaan rakyat perlu diteruskan supaya rakyat dapat membuat pilihan yang terbaik untuk masa hadapan, bukan masa kini sahaja.

"Kita tidak boleh mencetuskan keinginan rakyat untuk melihat jangka pendek sahaja,” katanya.