PARLIMEN | Kerajaan kini bercadang untuk membentangkan rang undang-undang membanteras amalan rent-seeking pada tahun depan dengan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir mengakui amalan ‘Ali Baba’ ketika ini tidak ditakrifkan sebagai kesalahan jenayah.

“Cabaran ketika ini ialah amalan seperti menjual lesen atau melakukan urusan ‘Ali Baba’ tidak ditakrifkan sebagai satu kesalahan jenayah,” kata Akmal ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebab itu, katanya, ada keperluan untuk kerajaan menggubal satu akta berkaitan anti-rent-seeking yang membolehkan perkara itu ditakrifkan sebagai kesalahan.

Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta perkembangan terkini mengenai cadangan undang-undang terkait amalan tersebut yang disasarkan untuk dibentangkan tahun ini melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Berdasarkan perancangan semasa, Kementerian Ekonomi bercadang supaya penggubalan undang-undang baru atau pindaan kepada perundangan berkaitan anti-rent-seeking dapat dibentangkan di Parlimen pada 2027,” kata Akmal.

Dia berkata kementerian ekonomi sedang mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang khusus atau meminda undang-undang sedia ada.

Pada Nov 2024, kementerian ekonomi mempelawa perunding untuk mengkaji amalan rent-seeking serta meneliti keperluan menggubal akta baru berkaitan atau meminda undang-undang sedia ada.

Pada Julai lalu pula kementerian itu dilaporkan masih memperhalusi kerangka cadangan berkenaan.

Dalam soalan tambahan, Syahredzan berkata, amalan itu boleh melibatkan kontrak yang sepatutnya diberikan kepada bumiputera diserahkan kepada pihak bukan bumiputera, atau lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sepatutnya untuk warganegara diberikan kepada bukan warganegara.

Undang-undang sedia ada memadai

Dia bertanya jika hukuman akan turut dikenakan terhadap penerima dan orang tengah yang mengaut keuntungan daripada urusan itu, dan bukan hanya pemegang asal lesen atau kontrak.

Menjawab soalan itu, Akmal berkata: “Buat ketika ini, di peringkat kementerian, kita (kerajaan) melihat opsyen supaya ruang lingkup itu tidak terhad kepada pemberi ataupun penerima.

“Sebab itu, apabila kita berhasrat untuk meneruskan rancangan ini, ia lebih berbentuk deterrence ataupun untuk mengelakkan amalan ini terus subur dalam negara,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Ahli Parlimen Johor Bahru itu, bentuk hukuman termasuk denda atau penjara hanya akan diketahui selepas kerangka berkenaan dimuktamadkan.

Akmal turut berkata amalan berkenaan kini berkembang melangkaui model rent-seeking tradisional.

“Apabila dikatakan amalan ini, malah ketika ini amalan itu bukan lagi Ali Baba. Baba-baba pun dah ada yang semakin ketara yang perlu kita perhalusi,” katanya, merujuk kepada kemungkinan wujudnya lebih banyak lapisan penerima manfaat selain penerima asal dan pihak kedua yang terlibat.

Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) pula bertanya bagaimana undang-undang yang dicadangkan itu akan menangani rasuah membabitkan penjawat awam dan ahli politik.

Salamiah Mohd Nor

Akmal berkata undang-undang sedia ada sudah boleh digunakan untuk menangani perbuatan rasuah.

“Sekiranya elemen itu wujud di bawah akta sedia ada, maka perkara itu sewajarnya dilaporkan ataupun diambil tindakan dalam konteks undang-undang sedia ada,” katanya.

Menurut Akmal lagi, jurang yang perlu ditangani ialah keadaan apabila urusan rent-seeking dilakukan atas persetujuan bersama tetapi tidak dianggap sebagai kesalahan jenayah ketika ini.

“Walaupun amalan itu mungkin dilakukan secara suka sama suka ataupun mungkin terdapat arrangement yang tidak dilihat daripada kerangka seperti yang berhormat nyatakan tadi, amalan ini akan melemahkan keupayaan dan persaingan.

“Kita bukan semata-mata mahu memberi ruang kepada warga kita untuk berniaga dan bersaing, tetapi akhirnya tidak mewujudkan kekuatan yang sebenar,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Julai 2023 mengumumkan buat pertama kali bahawa kerajaan sedang merangka dasar anti-Ali Baba dengan menganggarkan kerugian akibat amalan rent-seeking sekitar satu peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Katanya, amalan itu melibatkan perolehan kerajaan, lesen, permit dan kuota, selain subsidi serta geran.

Sementara itu parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan pada 2025 yang mengandungi peruntukan untuk menghalang pemindahan atau subkontrak kontrak kerajaan tanpa kebenaran.