Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) menggesa kerajaan memberikan peruntukan kawasan pilihan raya yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen, selaras dengan prinsip yang diperjuangkan PH ketika menjadi pembangkang.

Ketika mengakhiri perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Isnaraissah berkata isu itu telah dibangkitkannya sebanyak lima kali, termasuk ketika menjadi pembangkang dan kini sebagai Ahli Parlimen kerajaan yang tidak memegang jawatan dalam pentadbiran.

"Saya bangkit hari ini sebagai Ahli Parlimen kerajaan. Semasa kita jadi pembangkang dahulu, kitalah yang terpaling suruh kerajaan untuk jadi adil, bagi peruntukan sama rata kepada semua.

"Kali ini, waktu kita pegang kuasa, kenapa pula kita nafikan hak mereka, hak rakyat mereka,” katanya.

Dia turut menggesa kerajaan supaya tidak menggunakan peruntukan kawasan pilihan raya sebagai senjata politik terhadap pembangkang.

"Berhenti bah kita jadi kerajaan yang mematikan peruntukan kepada pembangkang kononnya supaya nanti rakyat dia orang tidak mahu undi sama dia orang dalam pilihan raya akan datang.

"Sewaktu kita jadi kerajaan inilah kita lakukan semua reformasi yang kita mahu.

"Tuan Yang di-Pertua, kita patut jadi orang yang sama, dengan prinsip yang sama, tidak kiralah kita duduk sebelah mana, sebelah kiri ataupun sebelah kanan,” tegasnya.

Kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus menerima desakan supaya memberikan peruntukan pembangunan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.

Sebelum ini, kerajaan menawarkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang menerusi cadangan memorandum persefahaman, namun pembangkang berpendirian peruntukan itu tidak sepatutnya bergantung pada perjanjian politik.

Persoal peruntukan untuk Sabah

Menyentuh mengenai Sabah, Isnaraissah yang juga Adun Usukan mempersoalkan sejauh mana peruntukan Persekutuan untuk negeri itu benar-benar disalurkan kepada pembangunan.

Dia berkata Belanjawan 2027 memperuntukkan RM18.7 bilion bagi perbelanjaan Persekutuan di Sabah, namun angka itu turut merangkumi perbelanjaan mengurus seperti gaji kakitangan kerajaan.

"Jadi, jangan dulu kita bangga betul apabila diumum RM18.7 bilion. Sebenarnya dari dulu pun belanja operasi itu di bawah tanggungjawab Persekutuan. Bukan Sabah sahaja yang kena bayar, negeri-negeri lain juga," katanya.

Dia menegaskan angka itu juga berasingan daripada hak Sabah menerima 40 peratus hasil dan meminta perbelanjaan berkenaan diperincikan mengikut kementerian serta projek, termasuk sekolah, hospital, klinik dan kemudahan pembangunan lain.

Menurutnya, sebanyak RM19.8 bilion diumumkan untuk Sabah antara 2023 hingga 2025 berdasarkan anggaran perbelanjaan Persekutuan dan penyata kewangan yang diaudit. Bagaimanapun, hanya RM4.22 bilion dapat dikenal pasti melalui butiran yang secara khusus menyatakan Sabah sebagai penerima.

"Selebihnya mungkin ada dalam butiran lain atau dalam butiran yang digabungkan dengan Sarawak seperti Pan Borneo. Mungkin tiada siapa dalam Dewan ini dapat menjawabnya. Mungkin tukang tulis buku sajalah (yang tahu),” katanya.