Amanah Selangor memberi isyarat bahawa cadangan Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) dengan Bersatu akhirnya boleh membuka jalan kepada kerjasama politik yang lebih luas, termasuk pada pilihan raya negeri akan datang.

Ini berikutan pendedahan oleh anggota majlis pimpinan tertinggi Bersatu merangkap anggota Dewan Undangan Negeri Taman Medan Dr Afif Bahardin bahawa perundingan antara Bersatu dengan kerajaan Selangor menunjukkan perkembangan positif.

Timbalan Ketua Amanah Selangor Azli Yusof berkata walaupun fokus serta-merta perlu kekal kepada memuktamadkan CSA, dia tidak menolak kemungkinan perbincangan masa depan mengenai kerjasama pilihan raya.

Azli Yusof

“Mungkin boleh jadi sampai ke peringkat itu tetapi saya rasa yang lebih penting sekarang adalah CSA.

“Pilihanraya itu mungkin lebih rumit dan perlukan perbincangan lebih mendalam, dari segi pembahagian kerusi dan lain-lain.

“Yang itu lebih memerlukan keputusan di peringkat pusat, bukan negeri. Tetapi saya fikir CSA ialah permulaan yang baik,” kata anggota parlimen Shah Alam itu kepada Malaysiakini di Dewan Rakyat hari ini.

CSA ialah perjanjian antara kerajaan dengan parti bukan kerajaan yang menyaksikan mereka menyokong atau berkecuali berhubung usul undi percaya, serta membantu meluluskan belanjawan atau bil bekalan.

Sebagai balasan, kerajaan akan menyalurkan sama ada peruntukan kewangan atau konsesi dasar kepada parti yang menyokong tersebut.

Afif sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa cadangan perjanjian itu akan melangkaui peruntukan kawasan DUN dan boleh memberi penglibatan lebih besar kepada anggota Dewan Undangan Negeri daripada Bersatu dalam membuat keputusan di peringkat negeri.

Azli berkata Amanah menyambut baik sokongan Bersatu terhadap pentadbiran pimpinan PH.

“Memang kita sangat-sangat sokong CSA. Untuk Bersatu bersama-sama memberikan sokongan kepada kerajaan.

“Kita sangat mengalu-alukan, apa juga rancangan yang dilakukan kerajaan negeri. Seboleh-bolehnya kita (Amanah Selangor) hendakkan rancangan ini diterima dengan baik,” katanya.

Gambar Hiasan - DUN Selangor

Azli berkata pengaturan sedemikian juga akan memberi isyarat sokongan politik yang lebih luas kepada pentadbiran Menteri Besar Amirudin Shari.

“Ini menggambarkan bahawa kepercayaan rakyat secara keseluruhan, kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan mendapat sokongan daripada Adun2 Bersatu,” katanay.

Azli seterusnya berkata dia dimaklumkan bahawa dia akan mewakili Amanah dalam perundingan CSA, walaupun perbincangan terperinci belum bermula.

Dia menjangkakan perbincangan akan berlangsung sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada pertengahan November.

Cadangan pakatan itu dibuat dketika hubungan yang tegang antara PH dan Umno/BN yang merupakan rakan sekutu dalam kerajaan persekutuan dan Selangor, manakala Bersatu juga terputus hubungan dengan PAS, rakan komponennya dalam Perikatan Nasional (PN).

Azli mengambil maklum lanskap politik yang berubah boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.


“Disebabkan adanya konflik dalam PN, Bersatu juga mungkin memerlukan sokongan kerajaan negeri.

“Jika kedua-dua pihak boleh mencapai kesepakatan, ia akan membawa kebaikan kepada negeri Selangor,” katanya.

‘Rundingan kerusi halangan lebih besar’

Pengarah Pilihan Raya Amanah Sany Hamzan turut menyokong cadangan perjanjian itu, tetapi mengakui bahawa sebarang pelanjutan terhadap kerjasama pilihan raya akan merumitkan rundingan kerusi.

“Saya rasa tak ada masalah. Cuma mungkin kerisauan kita nanti dalam persoalan berkaitan pembahagian kerusi,” kata anggota parlimen Hulu Langat itu ketika ditemui di Parlimen.

“Kalau kata dia (Bersatu) suka kerusi kita, kita pun kena tengok kerusi dia. Kalau dia nak kerusi yang kita (Amanah) menang, maknanya kena ada timbal-balik dengan kerusi dia menang.

“Kalau dia tengok kerusi kita tak menang, maksudnya kita pun tengok benda yang sama. Dalam proses perbincangan kena ada menang-menang,” kata bekas Adun Taman Templer itu.

Mohd Sany Hamzan

Sany juga menyambut baik prospek majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Alhamdulillah, saya setuju sebab (apabila kita bekerjasama) kita dapat majoriti dua pertiga. Bila dapat dua pertiga macam-macam kita boleh buat,” katanya.

Dia memetik persempadanan semula pilihan raya sebagai antara bidang yang boleh diusahakan bersama, dengan berhujah bahawa beberapa kerusi DUN di Selangor telah menjadi terlalu besar.

“Cntohnya macam kawasan saya di Hulu Langat, DUN Semenyih, jumlah pengundi dah 100,000 lebih, Dusun Tua dekat 100,000.

“Maknanya nisbah dah tak berapa kena,” katanya.

Sany berkata kawasan DUN yang ideal sepatutnya mempunyai sekitar 40,000 pengundi, manakala 50,000 hingga 60,000 juga sudah dikira tinggi.

Azli turut menyatakan majoriti dua pertiga boleh menjadi signifikan sekiranya Selangor berhasrat menambah bilangan kawasan DUN.

“Maka ini boleh dilakukan dengan sokongan Bersatu kerana kita mempunyai jumlah yang cukup untuk majoriti dua pertiga,” katanya.


Kerajaan Selangor kini mendapat sokongan 35 daripada 56 anggota di Dewan Undangan Negeri - 32 daripada PH, dua daripada BN dan seorang wakil bebas.

Bersatu memegang 11 kerusi. Sokongan parti itu akan membawa sokongan kerajaan kepada 46 Adun, melepasi jumlah 38 kerusi yang diperlukan untuk majoriti dua pertiga.