Saifuddin gesa Anwar gugurkan 'ulama kontroversi' dari Majlis Penasihat Pondok
PARLIMEN | Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak melantik seorang ulama Mesir yang didakwanya menyokong tindakan tentera negara itu membunuh ribuan penyokong Mohamed Morsi pada 2013.
Saifuddin berkata pelantikan tokoh berkenaan sebagai anggota Majlis Penasihat Pondok Malaysia akan memberikan isyarat yang tidak baik ketika kerajaan mahu memperkukuh pendidikan Islam melalui sistem pendidikan traadisional itu.
Dia membangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini. Terdahulu Perdana Menteri merangkap menteri kewangan pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa kerajaan mahu memperkukuh sistem pondok sebagai satu daripada usaha meningkatkan pendidikan Islam di negara ini.
“Perdana Menteri, jangan lantik ulama itu. Jangan lantik ulama jahat itu. Jangan lantik ulama zalim itu kerana itu (menghantar) signal yang tidak baik kalau kita benar-benar ingin meningkatkan pendidikan Islam bagi anak-anak kita,” katanya yang juga Setiausaha Agung Wawasan.
Tanpa menamakan ulama berkenaan dalam petikan ucapannya, Saifuddin dipercayai merujuk kepada seorang tokoh agama Mesir, Syeikh Ali Juma’ah, yang didakwa menyokong Abdel Fattah al-Sisi menggulingkan Mohamed Morsi.
Abdel Fattah merupakan bekas jeneral tentera Mesir dan menjadi sebahagian daripada anggota kabinet Mohamed Morsi.
Mohamed Morsi merupakan ahli politik dan pemimpin Parti Kebebasan dan Keadilan yang memenangi PRU Mesir pada 2012 sebelum digulingkan oleh Abdel Fattah. Tokoh Ikhwanul Muslimin terbabit kemudian ditahan, dipenjara dan dibicarakan.
Dia meninggal dunia di dalam mahkamah pada 17 Jun 2019.
Menurut Saifuddin, tokoh yang dilantik kerajaan Malaysia itu turut menggunakan fatwa bagi membenarkan tindakan tentera menembak sekurang-kurangnya 4,000 penyokong Mohamed Morsi yang mengadakan protes di pelbagai lokasi.
Saifuddin bagaimanapun berkata , dia tidak menolak cadangan kerajaan memperkukuh sistem pondok atau penubuhan majlis penasihat itu, sebaliknya hanya mahu Putrajaya memilih tokoh yang sesuai untuk memberikan panduan dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan Islam.
“Ramai lagi ulama tempatan, ulama di Indonesia dan ulama di Timur Tengah yang boleh kita rujuk supaya mendapatkan nasihat-nasihat yang baik,” katanya.
Kerajaan mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia melalui Belanjawan 2027 dengan penglibatan ulama antarabangsa termasuk Ali Juma'ah yang juga bekas mufti besar Mesir, serta ulama Maghribi, Syeikh Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/be9775d137c8a02a4b26aea809594357.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.