PARLIMEN l Kerajaan akan memuktamadkan penilaian kebolehlaksanaan membawa semula perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjelang November ini, selepas jawatankuasa penilaian membentangkan laporannya kepada Jemaah Menteri untuk keputusan lanjut.

Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari berkata jawatankuasa tersebut, yang melibatkan semua kementerian serta Ketua Setiausaha Negara, kini sedang menilai kos yang terlibat dan potensi pulangan pelaburan yang bakal diperoleh negara sekiranya menganjurkan perlumbaan F1 pada masa depan.

Taufiq memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa tujuan jawatankuasa itu adalah untuk memastikan potensi penganjuran F1 oleh Malaysia tidak diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan menerusi SIC semata-mata.

Taufiq Johari


“Kita nak pastikan bahawa penganjuran ini tidak hanya semata-mata di bawah kementerian belia dan sukan melalui SIC. Tetapi kita inginkan penganjuran ini bersifat inter ministries ataupun rentas kementerian kerana manfaat ekonomi ini tidak hanya dirasai oleh rakyat tetapi juga secara keseluruhan kementerian dan juga kebaikan untuk negara.

“Sebab itu sekarang ini penilaian tersebut sedang dilaksanakan kesediaan dan sebagainya kemudian dalam tempoh sehingga bulan November ini kita akan keluarkan satu laporan untuk dibawa kepada Jemaah Menteri .

“Dan pada akhirnya perkara tersebut akan diputuskan oleh Jemaah Menteri adakah kita akan bawa semula F1 ke negara kita ataupun tidak,” kata Taufiq semasa menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai kemungkinan F1 kembali ke Malaysia.


Sebelum ini, Taufiq berkata perlumbaan Formula One Gulf Air Bahrain Grand Prix yang diadakan di SIC dari 2 hingga 4 Okt menjana anggaran impak ekonomi hampir RM950 juta untuk Malaysia.

[Baca berita penuh]