Kerajaan negeri diingat tak terlalu ghairah luluskan projek pusat data
PARLIMEN | Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri hari ini telah memberi amaran kepada kerajaan negeri supaya tidak terlalu ghairah meluluskan bekalan air bagi projek pusat data tanpa terlebih dahulu menilai sama ada mereka mempunyai sumber yang mencukupi atau tidak.
Kadangkala, kata Johari Abdul Ghani, kerajaan negeri begitu teruja mahu menarik pusat data melabur dan memberikan segala-galanya kepada mereka namun tidak mengira berapa banyak air yang tersedia.
Menurut Johari, pengurusan air kekal di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan sudah berulang kali mengingatkan mereka supaya berhati-hati sebelum membuat komitmen kepada pelabur.
“Sebab itulah setiap kali saya bercakap dengan kerajaan negeri, saya beritahu mereka supaya berhati-hati apabila meluluskan bekalan air (untuk operasi pusat data),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika ini Johor dan Selangor merupakan dua negeri yang utama dalam pengembangan pusat data di Malaysia.
Menurut jawapan Kementerian Digital di parlimen dan diterbitkan semalam, 27 projek dengan nilai dianggarkan RM225.97 bilion diluluskan Pasukan Petugas Pusat Data setakat Julai.
Daripada jumlah itu, 16 projek dibangunkan di Johor, 10 di Selangor, dan satu di Negeri Sembilan.
Johari menambah teknologi kitar semula air kini menjadi satu keperluan bagi pusat data namun kerajaan pusat tidak dapat banyak membantu jika sesebuah negeri memberikan komitmen untuk membekalkan air kepada pelabur.
“Jika kerajaan negeri menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai masalah untuk membekalkan apa yang telah dijanjikan kepada pemohon pusat data, maka kami (kerajaan pusat) tidak boleh berbuat apa-apa kerana itu adalah komitmen mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH - Ampang), yang menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan pesat pusat data yang melibatkan penggunakan tanah, elektrik, dan air dalam jumlah yang besar sehingga menjejaskan keperluan orang awam.
Katanya projek perumahan di Selangor juga pernah menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air yang mencukupi sebelum ini.
Peringatan diberikan kerajaan itu dibua ketika perhatian semakin meningkat terhadap isu keperluan air bagi pusat data yang sedang berkembang di Malaysia dan persoalan sama ada ia telah dinilai dengan sewajarnya atau tidak sebelum diluluskan.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Charles Santiago, baru-baru ini mempersoalkan jika kerajaan sudah membuat perancangan yang cukup untuk menjamin bekalan air kepada rakyat sebelum projek pusat data diluluskan.
Sebelum itu Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Abdul Rahman Mohamad, memberitahu Putrajaya sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan pusat data menguruskan bekalan air sendiri bagi mengelakkan gangguan kepada pengguna domestik dan industri.
Sementara itu, Johari memaklumkan pelaburan pusat data yang dilaporkan sejak 2021 berjumlah RM385.7 bilion, terdiri daripada RM114 bilion pelaburan domestik dan RM271 bilion pelaburan asing.
Bagaimanapun, katanya, sebahagian besar daripada jumlah tersebut masih belum direalisasikan sepenuhnya.
Kata Johari, sesetengah projek baru memperoleh tanah atau memulakan kerja-kerja pembersihan tapak, manakala yang lain masih dalam peringkat pembinaan kemudahan.
Ketika ini Malaysia mempunyai 57 pusat data yang memerlukan kira-kira 6,230MW tenaga elektrik, sementara 60 kemudahan lain yang telah diluluskan atau sedang dibangunkan akan memerlukan tambahan 11,172MW lagi.
Johari berkata kerajaan sedang mengambil langkah untuk memastikan pusat data tidak menggunakan kapasiti elektrik yang dikhaskan untuk sektor industri, isi rumah, dan aktiviti ekonomi yang lain.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/454564564_845601.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.