Beberapa persoalan mendesak masih belum terjawab dalam krisi diraja dan adat di Negeri Sembilan, dengan Menteri Besar Ismail Lasim berada di tengah-tengah kebanyakan isu yang belum selesai itu.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Anand Raj, mendesak penjelasan mengapa Ismail mengumumkan bahawa pentadbiran negeri menerima proklamasi bertarikh 19 April oleh sekumpulan Undang yang mahu menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Anand menekankan bahawa perkara ini memerlukan penjelasan memandangkan pendahulu Ismail, Aminuddin Harun, sebelum ini menyifatkan pengisytiharan tersebut sebagai tidak sah.

Ismail sendiri sebelum itu mendakwa dipaksa menandatangani dokumen yang mengesahkan keputusan para Undang tersebut.

“Jika (Ismail) dipaksa atau menandatangani proklamasi tersebut di bawah tekanan, orang ramai berhak mengetahui oleh siapa, bagaimana, dan mengapa ia berlaku.

"Selain itu, mengapa dia membuat laporan polis pada 8 September— kira-kira lima minggu selepas proklamasi tersebut dibuat?

“Tambahan pula, mengapa dia kemudiannya mengesahkan proklamasi tersebut?” kata Anand dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 8 September, pihak Undang yang dipertikaikan statusnya mendedahkan kepada umum borang yang ditandatangani oleh Ismail pada 3 Ogos—sehari selepas dia mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

Walaupun Ismail sebelum ini menyatakan bahawa dia telah membuat laporan polis pada hari yang sama borang tersebut didedahkan kepada umum, dia tidak menjelaskan mengapa dia menunggu lebih sebulan untuk membuat laporan berkenaan.

Ismail juga tidak mendedahkan mengapa dia bertemu dengan para Undang yang dipertikaikan itu pada mulanya.

Undang berkenaan telah berusaha untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sejak April berikutan pertikaian kuasa, dan mahu jawatan Tuanku Muhriz diserah kepada Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar.

Dalam kenyataannya, Anand turut meminta penjelasan terperinci mengenai asas tindakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ketika itu untuk menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri pada 22 September.

Anand menyorot bahawa kedua-dua jawatan tersebut tertakluk di bawah bidang kuasa persekutuan, manakala pelantikan Exco tersebut telah dibatalkan oleh Tuanku Muhriz berkuat kuasa 20 September.

“Apakah respons (Ismail) sekarang memandangkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menyatakan dengan jelas bahawa kedua-dua pegawai tersebut berada di bawah perkhidmatan persekutuan dan bukan tertakluk kepada Exco?

“Memandangkan (Tuanku Muhriz) telah membatalkan pelantikan semua ahli Exco negeri, asas yang membolehkan kerajaan negeri terus beroperasi mungkin memerlukan penjelasan lanjut,” tambah Anand.

Kesemua sepuluh bekas ahli Exco negeri itu telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar kesahihan warta kerajaan negeri yang membatalkan pelantikan mereka.

Undang yang terlibat dalam pertikaian itu turut menafsirkan pesanan Majlis Raja-Raja—agar pihak luar tidak campur tangan dalam krisis Negeri Sembilan—sebagai merujuk kepada kerajaan persekutuan dan agensi-agensinya.

Selain menolak percubaan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk menggantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang negeri, AGC juga telah mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kesahihan perintah untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz.