Peguam yang terlibat dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada proses kehakiman berjalan mengikut lunas undang-undang selepas semua keterangan saksi selesai didengar.

Peguam Joan Goh, yang mewakili seorang daripada remaja yang dituduh dalam kes buli membabitkan pelajar Tingkatan Satu itu berkata beliau berharap segala bukti yang dikemukakan sepanjang prosiding telah diteliti secara menyeluruh.

“Kami berharap tiada spekulasi atau tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada mana-mana pihak memandangkan kes ini merupakan satu tragedi yang memberi kesan mendalam kepada semua kanak-kanak yang terlibat.

“Keadilan perlu berlandaskan bukti dan kedaulatan undang-undang, bukannya sentimen awam atau spekulasi,” katanya yang ditemui pemberita di luar Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata hak, kebajikan dan masa depan kanak-kanak yang terlibat juga perlu dilindungi, justeru semua pihak diminta menghormati proses kehakiman dan memberi mereka peluang untuk meneruskan kehidupan.

“Usaha menuntut keadilan untuk Zara tidak seharusnya mengorbankan keadilan bagi pihak lain, dan kami tetap bersimpati terhadap keluarga atas kehilangan tragis ini,” katanya.

Peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara Qairina berkata terdapat banyak perkara perlu dihuraikan oleh pihaknya dalam hujahan bertulis sebelum disiapkan dan difailkan selewat-lewatnya pada 15 Dis depan.

“Koroner juga meminta agar pihak-pihak membantu mahkamah sekiranya terdapat isu percanggahan keterangan antara saksi mahupun bukti, selain pandangan tentang lawatan yang telah dijalankan di sekolah,” katanya.

Beliau berkata koroner turut memerlukan pandangan serta saranan semua pihak yang terlibat bagi menambah baik prosiding inkues pada masa hadapan termasuk aspek keselamatan sekolah dan proses siasatan.

“Kami berharap keputusan yang akan dibuat mahkamah nanti adalah adil kepada semua pihak,” katanya.

Shahlan berkata pasukannya perlu meneliti 350 ekshibit dokumen serta lebih 5,000 muka surat nota prosiding yang dikumpulkan sepanjang tempoh 96 hari inkues berkenaan sebelum memfailkan hujahan bertulis.

Pada prosiding hari ini, Mahkamah Koroner menetapkan 15 Jan depan untuk memberikan keputusan dalam inkues berhubung kematian Zara Qairina.

Selepas 96 hari prosiding berlangsung, Mahkamah Koroner pada Rabu lepas selesai mendengar keterangan daripada 83 saksi, termasuk pakar, kanak-kanak, guru serta ahli keluarga.

Inkues itu bermula pada 13 Sept 2025 dengan pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth, di sini Dr Jessie Hiu dipanggil sebagai saksi pertama manakala pegawai penyiasat Insp Wong Yew Zhung merupakan saksi terakhir.

Pada 13 Ogos tahun lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan satu inkues akan dijalankan berhubung kematian pelajar itu selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos tahun lepas memaklumkan bahawa jenazah Zara Qairina akan digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan. Proses penggalian semula jenazah pelajar itu di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang selesai pada 7.15 malam 9 Ogos 2025.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran sebuah longkang di asrama sekolahnya pada awal pagi.

- Bernama