Bersama mempersoalkan asas saintifik perubahan dasar penutupan sekolah ketika jerebu oleh Kementerian Pendidikan (KPM), yang didakwa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa serta risiko terhadap kesihatan murid.

Jurucakapnya, Adawiyah Sulaiman dan Seah Jhen Pei, berkata KPM pada 8 Okt lalu mengarahkan penutupan institusi pendidikan di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 atau melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut.

Bagaimanapun, pada 15 Okt, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa sekolah hanya akan ditutup apabila bacaan IPU melebihi 200.

Dalam kenyataan hari ini, Bersama berkata pengumuman itu memberi gambaran bahawa sekolah akan beroperasi seperti biasa keesokan harinya.

Namun, pada 6.30 petang hari sama, Jabatan Pendidikan Selangor mengumumkan penutupan sekolah di bawah lapan daripada 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri itu pada 16 Okt, termasuk Klang, Hulu Langat, Gombak, Sepang dan Petaling Perdana.

Pada masa sama, semua sekolah di Kuala Lumpur kekal dibuka.

“Ini bermakna sekolah di Gombak ditutup, sedangkan sekolah di Sentul yang terletak bersebelahan dan menghirup udara yang sama dibuka seperti biasa.

“Ibu bapa dibiarkan keliru, ada yang hanya mengetahui status sekolah anak mereka pada saat-saat akhir.

“Keputusan yang berubah dalam masa beberapa jam, dan bercanggah antara kawasan yang berjiran, menunjukkan bahawa tiada kerangka keputusan yang jelas, seragam dan berasaskan data,” kata mereka.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 14 Okt mengumumkan bahawa sekolah hanya akan ditutup di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 200, manakala aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah digantung di kawasan dengan bacaan melebihi 100.

Education Minister Fadhlina Sidek pc at parliament 051026

Perubahan itu dibuat selepas KPM pada 8 Okt lalu menurunkan ambang bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi penutupan institusi pendidikan susulan jerebu yang semakin buruk.

Berdasarkan garis panduan ketika itu, semua institusi pendidikan di bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 atau melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut perlu ditutup.

Keputusan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya kesihatan dan keselamatan murid diutamakan apabila bacaan IPU berada antara 150 hingga 180.

Sementara itu jurucakap Bersama mempersoalkan asas saintifik yang membolehkan ambang IPU dinaikkan semula kepada 200 dalam tempoh singkat, sedangkan ambang 150 dan 180 sebelum ini ditetapkan atas pertimbangan kesihatan dan keselamatan.

Mereka juga berkata menyerahkan keputusan kehadiran kepada ibu bapa bukan penyelesaian adil kerana murid daripada keluarga tanpa kenderaan sendiri atau yang bergantung pada pengangkutan awam mungkin lebih terdedah kepada pencemaran udara.

“Kesihatan kanak-kanak tidak boleh dikompromi atas alasan memastikan pembelajaran berjalan seperti biasa.

“Jika kebimbangan KPM ialah kesinambungan pembelajaran, maka penyelesaiannya adalah memperkasakan PdPR, bukannya mengorbankan langkah perlindungan kesihatan,” menurut kenyataan itu.

haze weather condition generic circa 2013 090919 01

Sehubungan itu, Bersama menggesa kerajaan menetapkan ambang penutupan sekolah berdasarkan sains dan nasihat pakar kesihatan awam, mewujudkan mekanisme keputusan seragam antara KPM, jabatan pendidikan negeri dan Jabatan Alam Sekitar serta mengumumkan keputusan lebih awal.

Mereka turut menggesa supaya pembelajaran di rumah (PdPR) diperkukuh ketika krisis, termasuk melalui penyediaan bahan pembelajaran dalam talian dan luar talian serta sokongan peranti dan internet kepada murid daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Kita tidak seharusnya melihat kesihatan dan pendidikan sebagai dua perkara yang saling bertentangan. Kedua-duanya ialah tanggungjawab kerajaan yang mesti dipelihara secara serentak.

“Murid tidak sepatutnya perlu mempertaruhkan kesihatan untuk mengelakkan mereka daripada ketinggalan dalam pelajaran,” kata mereka.