Adam Adli: Kritikan mahasiswa terhadap rasuah bukan ancaman
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, menegaskan kritikan mahasiswa terhadap gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman atau menjadi alasan untuk mengenakan tindakan terhadap mereka.
Kenyataan itu menyusul tularnya video seorang mahasiswi Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, yang mengkritik budaya mempertahankan pemimpin terkait dengan rasuah.
Dalam kenyataan hari ini, Adam Adli berkata, demokrasi bukan sekadar memberikan kebebasan untuk bersuara, tetapi turut menuntut kesediaan untuk mendengar pandangan yang tidak menyenangkan.
“Pandangan yang dilontarkan beliau tersebut adalah suatu fair comment (komen yang adil).
“Kritikan terhadap budaya rasuah, salah guna kuasa dan sikap mempertahankan kebobrokan tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang mengancam.
“Sebaliknya, ia wajar menjadi peringatan penting kepada mereka yang diberikan amanah untuk memimpin,” katanya.
Dalam laporan Malaysiakini semalam, Ummi Umairah membangkitkan isu skandal Lembaga Tabung Haji yang melibatkan beberapa tokoh politik, serta mempersoalkan tindakan orang ramai mengumpul derma bagi membantu Najib Razak membayar denda RM50 juta sekali gus membolehkan bekas perdana menteri itu menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah.
Dia turut mempersoalkan bagaimana pemimpin masa depan boleh dididik supaya berani menentang rasuah dan feudalisme, berfikiran kritis serta mengemukakan fakta dan data statistik.
Soalan itu dikemukakan dalam satu sesi dialog anjuran KPT yang menampilkan bekas menteri Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.
Khairy dalam responsnya berkata perkara yang salah tetap salah dan pemimpin tidak seharusnya takut bercakap mengenai rasuah walaupun ia melibatkan pemimpin sendiri.
Amirudin pula menyambut baik keprihatinan golongan muda terhadap isu rasuah, manakala Onn Hafiz menegaskan usaha memerangi rasuah perlu dilaksanakan secara adil dan konsisten.
Menurut Adam Adli, kampus perlu terus menjadi ruang yang subur untuk pertembungan idea, perbahasan dan perbezaan pandangan, selaras dengan komitmen KPT dan kerajaan terhadap kebebasan akademik.
“Mahasiswa tidak seharusnya dibentuk menjadi sekadar pengikut yang akur, sebaliknya menjadi warga berfikiran merdeka yang mampu menilai, mencabar dan mempersoalkan,” katanya.
Bekas Ketua Pemuda PKR itu turut menegaskan KPT akan terus memelihara kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan menyatakan pendapat dalam lingkungan tanggungjawab serta bidang kuasa kementerian itu.
Tambahnya kritikan mahasiswa tidak sepatutnya dijadikan polemik politik kepartian, manakala prinsip kebebasan bersuara perlu dipertahankan tanpa mengira pihak yang sedang berkuasa atau menerima kritikan.
“Kritikan, hatta terhadap pemimpin dalam kerajaan hari ini, tidak seharusnya diterjemahkan sebagai suatu kesalahan atau alasan untuk mengenakan tindakan terhadap mahasiswa,” katanya.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata keberanian mahasiswa menyuarakan pandangan tidak seharusnya ditakuti oleh pemimpin.
Pada masa yang sama dia menegaskan, apa yang lebih membimbangkan ialah ketika kampus kehilangan keberanian untuk bertanya, dan pemimpin pula kehilangan kesediaan untuk mendengar.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/05/1b21b5bb96b49fb2f6682aaa472c5655.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.