Keluarga Noorizwan Zulkefly yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis hari ini menggesa pihak berkuasa supaya menghentikan gangguan terhadap peguam mereka yang sedang disiasat berhubung dakwaan mengugut seorang pakar forensik yang terlibat dalam kes itu.

Dalam satu kenyataan, adik lelaki Noorizwan, Nooranis, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa tiga peguam berkenaan telah memberi tekanan atau mengganggu doktor itu.

"Saya bersama isteri, tiga orang peguam dan dua anggota polis dari Bukit Aman telah hadir sendiri dalam pertemuan bersama doktor pakar forensik tersebut.

"Sepanjang pertemuan itu, doktor berkenaan telah menunjukkan serta memberikan penerangan mengenai gambar-gambar bedah siasat Allahyarham secara sukarela.

"Tiada sebarang unsur paksaan, ugutan atau tekanan yang saya saksikan daripada peguam keluarga terhadap doktor tersebut.

"Malah, pertemuan itu berlangsung dalam suasana yang baik dan profesional. Selepas sesi penerangan selesai, kami turut bersalaman dengan doktor berkenaan serta mengambil gambar bersama.

"Justeru, saya ingin bertanya kepada pihak polis: Apakah asas dakwaan bahawa peguam keluarga telah memberikan tekanan kepada doktor pakar forensik?" soalnya.

Allahyarham Noorizwan Zulkefly

Kenyataan Nooranis itu dibuat sehari selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar mengesahkan polis sedang menyiasat dakwaan bahawa beberapa peguam mengganggu pakar forensik berkenaan.

Kumar berkata siasatan itu susulan laporan polis yang dibuat oleh doktor terbabit, yang merupakan penjawat awam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506, 186 dan 189 Kanun Keseksaan, masing-masing berkaitan ugutan jenayah, menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi serta ugutan untuk mencederakan penjawat awam.

Nooranis berkata keluarganya kecewa dengan dakwaan itu, khususnya kerana ia dibuat secara terbuka kepada umum, sedangkan pertemuan mereka dengan doktor berkenaan disaksikan beberapa individu, termasuk pegawai dari Bukit Aman.

Keluarga itu turut menggesa polis supaya tidak mengalihkan perhatian orang ramai daripada kematian Noorizwan dalam tahanan polis, yang menurut mereka sepatutnya disiasat sebagai kes bunuh.

Kematian Noorizwan: Bantahan di buat di luar Bukit Aman

"Kami juga mendesak supaya sebarang gangguan yang tidak wajar terhadap peguam keluarga dihentikan serta-merta.

"Persoalan yang lebih besar masih belum terjawab.

"Mengapa ketika kes kematian Allahyarham Noorizwan dalam tahanan polis masih belum diselesaikan, peguam yang membantu keluarga mendapatkan keadilan pula menjadi perhatian melalui tuduhan sedemikian?

"Kami tidak mahu perhatian terhadap kes kematian Allahyarham dialihkan kepada pertikaian yang tidak berasas," katanya.

Kumpulan Lawyers for Liberty (LFL) sebelum ini mendedahkan bahawa pengasas bersamanya, Latheefa Koya dan N Surendran, serta peguam Dina Zamri, sedang disiasat berhubung dakwaan mereka memberi tekanan kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) supaya mendedahkan gambar daripada pemeriksaan bedah siasat Noorizwan.

Sidang akhbar oleh peguam LFL pada Oktober lalu mengenai kematian Noorizwan Zulkefly semasa dalam tahanan polis

Siasatan itu mengundang kritikan beberapa tokoh perundangan, termasuk bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan dan ahli parlimen DAP Ramkarpal Singh, yang membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan peguam diugut ketika menjalankan tugas profesional mereka.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail turut mempersoalkan mengapa peguam berkenaan disiasat, namun berkata dia tidak boleh campur tangan dalam siasatan polis.

Katanya, siasatan itu tidak semestinya bermakna peguam berkenaan menjadi sasaran kerana mendedahkan dakwaan salah laku polis, sambil menegaskan bahawa proses sewajarnya perlu berjalan.