Hampir setahun selepas polis menembak mati tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka, persoalan sama ada pembunuhan itu merupakan pelaksanaan hukuman tanpa proses mahkamah masih belum terjawab, dengan inkues terhadap kematian berkenaan masih belum dimulakan.

Walaupun Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues diadakan pada Julai tahun ini, namun hanya sedikit kemajuan dicapai untuk memulakan prosiding tersebut, sekali gus menyebabkan keluarga mangsa terus menanti jawapan.

Perkembangan ini mendorong anggota DAP, RSN Rayer, untuk mendapatkan penjelasan daripada kerajaan.

Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri

Dalam jawapan bertulis parlimen semalam, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, menafikan bahawa inkues itu sengaja dilewatkan dan menjelaskan bahawa ia masih menunggu tarikh prosiding.

Katanya, Bukit Aman telah mengemukakan permohonan kepada mahkamah Melaka untuk mengadakan inkues pada 11 Ogos lalu.

“Kerajaan ingin menegaskan prosiding inkues siasatan ini bukan sengaja dilewatkan namun keputusan mengadakan inkues dibuat berdasarkan proses siasatan yang menyeluruh, termasuk penelitian terhadap keterangan yang diperoleh serta pematuhan kepada arahan dan

keperluan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri akan memastikan polis memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mahkamah dan AGC sepanjang prosiding dijalankan.

“Kerajaan menghormati kebebasan proses kehakiman dan tidak akan mendahului sebarang dapatan mahkamah,” katanya lagi.

Pada 24 Nov tahun lepas, polis menembak mati M Puspanathan, T Poovaneswaran, dan G Logeswaran, yang berumur antara 24 hingga 29 tahun.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, mempertahankan tindakan tembakan itu dengan mendakwa bahawa salah seorang daripada lelaki berkenaan telah menyerang dan mencederakan seorang pegawai polis menggunakan parang.

Bagaimanapun, keluarga mangsa mempertikaikan kenyataan polis selepas timbul satu rakaman audio, yang didakwa sebagai panggilan telefon oleh salah seorang lelaki tersebut semasa kejadian, sekali gus menimbulkan persoalan serius sama ada ketiga-tiga mereka telah dibunuh secara kejam.

Laporan bedah siasat yang didedahkan pada 7 Julai dilihat memberi tekanan tambahan kepada kebimbangan keluarga mangsa. Laporan itu mendapati dua daripada lelaki berkenaan ditembak di kepala, manakala lelaki ketiga mengalami luka tembakan jarak dekat di dada, dengan arah peluru menuju ke bawah.

Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili keluarga mangsa, berkata salah seorang mangsa telah ditembak terus di dahi, dengan peluru keluar melalui bahagian belakang kanan bawah kepala.

Dia menambah bahawa kesan jelaga di sekeliling luka menunjukkan tembakan telah dilepaskan dari jarak yang sangat dekat.

Bantahan awam akhirnya mendorong Bukit Aman membuka siasatan kes pembunuhan. Susulan semakan ke atas kertas siasatan, AGC telah mengarahkan supaya inkues dijalankan.