Tee-Man, Pearly-Thinaah rangkul gelaran beregu Terbuka Hong Kong
Beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah meraih kejayaan manis untuk negara apabila muncul juara Terbuka Hong Kong selepas masing-masing menewaskan lawan dalam aksi final di Arena Kai Tak, hari ini.
Kejayaan itu menamatkan penantian 27 tahun negara untuk kembali merangkul kejuaraan beregu lelaki kejohanan berkenaan. Kali terakhir Malaysia memenanginya menerusi gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1999.
Tee-Man memastikan gelaran itu menjadi milik mereka selepas menundukkan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, 21-19, 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung kurang 40 minit.
Pasangan negara itu berdepan tentangan sengit pada set pertama sebelum menguasai permainan dalam set kedua. Mereka mendahului 14-4, namun lawan bangkit mengecilkan jurang kepada 16-19 sebelum Tee-Man menamatkan perlawanan dengan kemenangan dua set.
Kejuaraan itu merupakan gelaran kedua Tee-Man tahun ini selepas menjuarai Terbuka Perancis berstatus Super 750 pada Oktober lalu.
Sementara itu, Pearly-Thinaah turut menceriakan kem negara apabila menewaskan pasangan Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi, 22-20, 21-16 untuk muncul juara beregu wanita.
Walaupun tidak diletakkan sebagai pilihan, Nakade-Takahashi memberikan tentangan hebat dengan mengimbangi permainan pasangan negara. Namun, Pearly-Thinaah berjaya mengatasi tekanan sebelum mengesahkan kemenangan menerusi pukulan balas Nakade yang tersasar.
Kejayaan itu melengkapkan kempen cemerlang Pearly-Thinaah apabila mereka mara ke final tanpa kehilangan sebarang set sepanjang kejohanan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/dasdadds_487158.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.