Kes tukar jantina di Kelantan: Pendakwaan tukar pertuduhan
Individu yang dilaporkan menjadi tertuduh pertama dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kelantan atas kesalahan mengubah jantina pada awal tahun ini, kini tidak lagi berdepan pendakwaan Seksyen 18 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 itu.
Ia selepas Jabatan Pendakwaan Syariah Kelantan pada Ahad lalu menukar pendakwaan kepada pertuduhan berlagak seperti perempuan mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Meskipun berlaku pertukaran pertuduhan, tertuduh kekal dengan pengakuan tidak bersalah seperti mana pendakwaan asal.
Peguamnya, Muhammad Syarafi Mohd Salleh berkata, pihaknya percaya terdapat tiga sebab utama yang menjadi persoalan berhubung pertukaran pertuduhan daripada Seksyen 18 kepada Seksyen 19(1).
Pertama menurutnya, wujud persoalan berhubung elemen-elemen kesalahan yang terkandung dalam pertuduhan asal di bawah Seksyen 18 dan bagaimana elemen tersebut berkait dengan pertuduhan baru di bawah Seksyen 19(1).
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/02/99b2202650dc65139094b5868808d16a.jpg)
Sebab kedua pula jelasnya, berkait aspek kuasa dan tatacara pindaan pertuduhan mengikut Seksyen 83(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan 2002, berkait kuasa meminda atau menambah sesuatu pertuduhan terletak pada mahkamah.
Dalam kes ini kata peguam, pertuduhan asal di bawah Seksyen 18 dibacakan sebelum pihak pendakwaan memohon pertukaran kepada Seksyen 19(1) dan dibenarkan mahkamah.
"Seksyen 83(2) pula menghendaki setiap pindaan atau penambahan pertuduhan dibaca dan diterangkan kepada tertuduh. Peruntukan ini perlu dibaca bersama Seksyen 84 hingga 87 yang memperuntukkan tatacara serta perlindungan hak tertuduh selepas sesuatu pertuduhan dipinda.
"Justeru, timbul persoalan mengenai asas undang-undang dan pematuhan tatacara dalam proses pertukaran pertuduhan tersebut," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Tambahnya, aspek ketiga pula berkait kandungan kertas siasatan yang dikemukakan kepada pihak pendakwaan juga merupakan perkara penting yang perlu diteliti bagi memahami asas dan justifikasi pertukaran pertuduhan tersebut.
Pada Feb lalu, Malaysiakini melaporkan Kelantan merekodkan pendakwaan pertama melibatkan kesalahan mengubah jantina bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, sejak undang-undang itu diwartakan pada 2020.
Pendakwaan kes pertama itu berlangsung di Mahkamah Syariah Kelantan, di Kota Bharu, pertengahan Jan lalu, melibatkan seorang individu disyaki transgender.
Menurut sumber, pihak Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) menahan individu itu dalam kejadian awal tahun ini dalam satu operasi ke atas acara melibatkan sekumpulan transgender.
Dalam perkembangan yang sama, Justice for Sisters (JFS) menggesa supaya pertuduhan baru terhadap tertuduh digugurkan serta-merta.
NGO itu mendakwa kedua-dua undang-undang itu amat bermasalah dan melanggar hak asasi yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai asas dari segi bukti, sains, pengalaman hidup mahupun hak asasi.
"Ia berasaskan maklumat salah berkaitan gender, yang bertujuan memaksakan tanggapan bahawa gender hanya terbahagi kepada dua kategori, sekali gus menafikan kewujudan golongan transgender dan individu yang mempunyai kepelbagaian gender," kata JFS dalam kenyataan.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/02/a1e80e493022e7ec7651ab0ab344be4d.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.