PARLIMEN | Ahli Parlimen BN dan PH saling berbalah mengenai dakwaan bahawa hutang 1MDB menjadi punca kerajaan PH gagal menunaikan janji memansuhkan tol ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Sekretariat Anggota Parlimen BN yang diwakili Mohd Isam Mohd Isa menyifatkan dakwaan Chong Zhemin (Kampar-DAP) sebagai tidak tepat dan mengelirukan kerana tidak menggambarkan kedudukan sebenar fiskal negara ketika itu.

Mohd Isam berkata, berdasarkan jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat pada November 2026, kos pengambilalihan kesemua 34 lebuh raya bertol di bawah 28 syarikat konsesi dianggarkan mencecah RM400 bilion.

Sebaliknya, keseluruhan komitmen hutang 1MDB, termasuk prinsipal dan faedah, berjumlah RM51.4 bilion. Daripada jumlah itu, katanya, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion setakat 31 Ogos 2026.

Katanya, dana dan aset 1MDB bernilai RM31.3 bilion turut berjaya diperoleh semula, menjadikan beban bersih yang ditanggung kerajaan sebanyak RM20.1 bilion.

Justeru, dia mempersoalkan dari mana kerajaan ketika itu boleh mendapatkan baki RM348.6 bilion untuk mengambil alih semua lebuh raya bertol sekiranya keseluruhan komitmen hutang 1MDB sebanyak RM51.4 bilion tidak wujud.

"Angka ini membuktikan bahawa janji pemansuhan tol secara menyeluruh sememangnya berdepan kekangan struktur kewangan negara sejak awal lagi.

"Kedua, perlanjutan konsesi Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) sehingga 2058 membuktikan realiti pengurusan konsesi. Rekod rasmi menunjukkan bahawa pada tahun 2020, pentadbiran PH sendiri telah melanjutkan tempoh konsesi Plus selama 20 tahun daripada tahun 2038 sehingga 2058 sebagai pertukaran kepada pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus," katanya.

Kenyataan Mohd Isam itu susulan cabaran Chong pada Isnin lalu terhadap Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, supaya mengira berapa lama RM20 bilion yang dikaitkan dengan skandal 1MDB boleh digunakan untuk membiayai perjalanan tanpa tol di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

Chong meminta Ahmad (BN-Pontian) "menekan kalkulator" bagi mengira tempoh wang itu mampu menampung bayaran tol di lebuh raya berkenaan.

Dia membangkitkan perkara itu menerusi soalan tambahan kepada jawapan Ahmad berhubung pemasangan lampu jalan dan lampu solar.

Chong berkata, skandal 1MDB ketika pentadbiran BN meninggalkan liabiliti yang dianggarkan berjumlah RM40 bilion, dengan kos bersih yang ditanggung kerajaan mencecah RM20 bilion selepas mengambil kira penyelesaian dan pemulihan dana.

"Ketika Pakatan Rakyat berjanji pada 2013 untuk menghapuskan tol di Plus, kami menganggarkan kosnya RM3.9 bilion setahun.

"Jadi, jika skandal 1MDB tidak berlaku dan RM20 bilion ini tidak dibelanjakan, berapa tahun kita boleh membayar tol di Plus?" soalnya.

Mohd Isam mengakui pengurangan kadar tol memberi manfaat kepada pengguna. Namun, katanya, pengurusan lebuh raya bertol turut melibatkan rundingan kontrak konsesi, pampasan, kos penyelenggaraan jangka panjang serta pulangan pelaburan institusi awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional.

Dia berkata, kemampuan fiskal kerajaan pada 2018 perlu dinilai secara menyeluruh, termasuk mengambil kira kesan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta penggantiannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yang mengurangkan hasil cukai negara.

"Ini membuktikan bahawa ruang fiskal kerajaan dipengaruhi oleh pelbagai keputusan dasar ekonomi bukan sekadar komitmen 1MDB," katanya sambil menyenaraikan rekod pentadbiran BN yang memansuhkan 11 tol secara bersasar serta pembinaan lebuh raya tanpa tol seperti Pan Borneo dan Central Spine Road.

Hutang langsung kerajaan

Sementara itu, Chong dalam sidang medianya hari ini mempersoalkan mengapa kerajaan BN pada 2013 tidak mempertimbangkan cadangan Pakatan Rakyat untuk memansuhkan tol Plus secara berperingkat.

Menurutnya, belanjawan alternatif Pakatan Rakyat 2013 menggariskan bagaimana cadangan itu boleh dilaksanakan kerana kerajaan ketika itu sudah mengawal Plus secara tidak langsung melalui Khazanah dan KWSP.

"Pelan itu mengambil kira kos penyelenggaraan lebuh raya, bayaran balik sukuk Plus serta pulangan kepada KWSP dan Khazanah. Selepas mengambil kira unjuran penjimatan dan hasil tambahan, anggaran kos bersih yang perlu ditanggung kerajaan ialah RM3.913 bilion setahun.

"Berdasarkan anggaran tahunan itu, jumlahnya bagi tempoh pembelian balik selama sepuluh tahun ialah RM39.13 bilion, atau kira-kira RM40 bilion. Ketika itu, BN berpeluang menilai andaian yang digunakan, menerbitkan pengiraannya sendiri dan memberitahu pengguna lebuh raya langkah yang sanggup diambilnya," katanya.

Chong berkata hutang langsung kerajaan meningkat daripada RM539.9 bilion pada akhir 2013 kepada RM705 bilion menjelang Mac 2018, sebelum mencecah RM1.0796 trilion pada akhir 2022.

Dalam tempoh sama, bayaran khidmat hutang tahunan kerajaan turut meningkat daripada RM20.8 bilion kepada RM41.3 bilion.

"Kenaikan bayaran khidmat hutang sebanyak RM20.5 bilion setahun itu sahaja melebihi lima kali ganda anggaran kos tahunan untuk memansuhkan tol plus secara berperingkat," katanya.

Dia turut mengaitkan sebahagian beban kewangan kerajaan dengan skandal 1MDB. Menurutnya, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion setakat Ogos 2026 untuk melunaskan hutang dan komitmen 1MDB, dengan baki RM8.9 bilion masih perlu dibayar.

Selepas mengambil kira dana dan aset bernilai RM31.3 bilion yang berjaya diperoleh semula, beban bersih yang ditanggung kerajaan dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion.

"Berdasarkan anggaran kos tahunan pada 2013, jumlah itu bersamaan dengan lebih lima tahun kos pelaksanaan cadangan pemansuhan tol Plus," katanya lagi.

Chong turut menyenaraikan beberapa skandal lain ketika pentadbiran BN, termasuk kerugian Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing, masalah kewangan Tabung Haji, Perwaja Steel, Bumiputra Malaysia Finance (BMF), Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan projek kapal tempur pesisir (LCS).

"Secara keseluruhan, angka bagi kes-kes ini berjumlah kira-kira RM65.1 bilion, bersamaan 1.63 kali anggaran RM40 bilion bagi cadangan pemansuhan tol Plus," tegasnya.