PARLIMEN l Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini, selepas bacaan kali ketiga diputuskan menerusi undian suara.

Keputusan itu dimaklumkan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ramli Md Nor, petang tad selepas bacaan ketiga RUU itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.

"Ahli-ahli yang bersetuju katakan bersetuju...

"Yang tidak bersetuju katakan tidak...

"Lebih, suara yang bersetuju," kata Ramli.

RUU itu sebelum ini diluluskan di peringkat dasar pada 29 Okt, juga menerusi undi suara, susulan pemeteraian perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) antara kerajaan dengan 13 ahli parlimen pembangkang dan bebas.

Perbahasan di peringkat jawatankuasa pula bermula pada 2 Nov, dengan peruntukan bagi 28 kementerian dibahaskan sepanjang 14 hari persidangan.

Ramli Mohd Nor

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lalu dengan peruntukan berjumlah RM459.8 bilion, meningkat RM40.6 bilion berbanding belanjawan sebelumnya.

Ia merupakan belanjawan kelima yang dibentangkan di bawah pentadbiran Anwar sejak dia dilantik sebagai perdana menteri pada November 2022.

Antara tumpuan Belanjawan 2027 ialah pelepasan cukai bagi golongan berpendapatan sederhana, peningkatan bantuan tunai serta peruntukan lebih RM80 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif dalam usaha menangani isu kos sara hidup.

Kelulusan Belanjawan 2027 turut membuka laluan kepada penyaluran peruntukan pembangunan kawasan kepada 13 ahli parlimen yang memeterai CSA dengan kerajaan.

Pada 30 Okt lalu, Anwar berkata ahli parlimen terbabit akan menerima peruntukan bagi kawasan masing-masing sebaik sahaja Belanjawan 2027 diluluskan di Parlimen.

CSA itu dimeterai sebelum RUU berkenaan diluluskan di peringkat dasar tanpa melalui undi belah bahagi.

RUU Perbekalan 2027 seterusnya akan dibawa ke Dewan Negara untuk dibahaskan dan diluluskan.