Adun Galas tegur Air Kelantan agar terbuka dengan kritikan lepas ancam saman RM1 juta
Ahli dewan undangan negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berpendapat tuntutan RM1 juta Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terhadap seorang usahawan hanya kerana mengkritik kelemahan berkaitan perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang wajar.
Menurutnya, sebagai sebuah syarikat yang mengendalikan perkhidmatan asas rakyat - AKSB seharusnya lebih terbuka menerima teguran dan kritikan.
Namun tegasnya, isu tersebut perlu dilihat secara lebih teliti dan adil.
"Apakah kritikan yang dibuat, apakah asas dan bukti yang dikemukakan, serta adakah kritikan tersebut mempunyai asas yang munasabah?
"Jika terdapat kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan, kritikan sewajarnya dilihat sebagai ruang untuk penambahbaikan, bukannya ancaman," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Adun BN itu berkata demikian sebagai mengulas kes dihadapi Asran Alias, 44, kerana didakwa memfitnah dalam mengkritik kelemahan AKSB sebagai syarikat induk bekalan air di negeri itu.
Malaysiakini semalam melaporkan bekas ketua pemuda Bersatu yang sudah meninggalkan arena politik itu sebagai berkata, dia bersedia untuk patuh terhadap tuntutan AKSB tetapi tidak berkemampuan untuk membayar RM1 juta.
"Mohon nasihat supaya masalah ini selesai, saya nak fokus pada perniagaan dan kesihatan sahaja.
"Mulai hari ini saya akui bahawa AKSB adalah syarikat perkhidmatan air terbaik di dunia, air paling bersih, sistem aduan paling canggih," katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut Mohd Syahbuddin memberi amaran bahawa sebarang tindakan undang-undang yang dilihat sebagai usaha menakut-nakutkan pengguna daripada bersuara juga amat tidak wajar.
Tegasnya, rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan, apatah lagi apabila melibatkan kepentingan dan kebajikan mereka sebagai pengguna.
"Jangan sampai hak rakyat untuk menegur dan bersuara menjadi sesuatu yang perlu ditakuti," katanya yang juga ketua pembangkang DUN Kelantan.
Dalam perkembangan sama Ketua Pemuda Amanah Kelantan Zulhazmi Hassan mempersoalkan apakah yang dibangkitkan Asran mencerminkan suara rakyat Kelantan yang mahukan perkhidmatan bekalan air yang baik dan saluran aduan yang berkesan?
Katanya AKSB sepatutnya tampil memberi penjelasan kepada rakyat apakah hasil semakan AKSB terhadap isu yang dibangkitkan termasuk bagaimana aduan pengguna dikendalikan
"Apakah langkah yang akan diambil untuk menambah baik perkhidmatan? Notis tuntutan RM1 juta itu masih belum menjawab persoalan-persoalan ini," katanya sambil mengajak rakyat Kelantan terus menggesa penjelasan daripada AKSB mengenai isu perkhidmatan yang dibangkitkan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/MohdSyahbuddinHashim1_226497.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.