BERITA

Kota Tinggi: 8 ahli Umno nafi terbabit

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Nov 2008, 11:13 tengahari

Lapan ahli Umno Bahagian Kota Tinggi membuat laporan polis berhubung tindakan PAS Johor mengemukakan aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Johor dua hari lalu, tentang dakwaan politik

wang di bahagian tersebut.

Muszaide Makmor yang mengetui kumpulan lapan orang itu berkata, kesemua mereka membuat laporan polis tersebut di Balai Polis Kota Tinggi pada kira-kira 5 petang semalam.

"Kelapan-lapan orang, termasuk saya yang namanya terkandung di dalam dokumen yang diserahkan oleh PAS Johor kepada BPR negeri dua hari lepas itu, menafikan mempunyai sebarang pembabitan di sebalik tindakan PAS itu".

"Kami tidak tahu bagaimana dokumen itu boleh diperolehi oleh PAS Johor itu," kata bekas calon ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Tinggi itu kepada Bernama hari ini.

Muszaide, yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno baru-baru ini dan digantung keahliannya selama satu penggal berkata, mereka berharap polis dapat menjalankan siasatan tentang bagaimana dokumen terbabit boleh jatuh ke tangan PAS Johor.

Katanya, dokumen yang diperolehi Pas Johor itu dan diserahkan kepada BPR negeri itu merupakan dokumen yang sama diserahkan oleh pihaknya kepada Lembaga Disiplin Ibu Pejabat Umno Malaysia.

"Kami hanya mengemukakan dokumen terbabit kepada pihak Lembaga Disiplin Umno...dan tidak menyerahkannya kepada PAS Johor.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Osman Mohd Sebot ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis dari kumpulan itu.

Dua hari lalu, ketua penerangan PAS, Johor Mazlan Aliman, yang dipertua PAS Kota Tinggi Kamaldin Tahir dan timbalannya Monaim Hassan membuat laporan di BPR negeri tentang dokumen yang mendakwa berlaku gejala politik wang termasuk oleh Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Kamaldin mendakwa, beliau menemui dokumen terbabit yang ditinggalkan di hadapan rumahnya ketika sedang menuju ke surau berhampiran untuk menunaikan solat Subuh pada hari Selasa.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.