Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad mendedahkan bahawa kerajaan tidak lagi membayar subsidi untuk petrol sejak awal bulan November ini kerana harga minyak mentah dunia jatuh di bawah AS$65 setong.

shahrir samad 01 Bercakap dalam satu sidang akhbar di Parlimen, Shahrir menjelaskan, walaupun harga minyak diturunkan sebanyak 15 sen lagi hari ini, kerajaan tidak perlu membayar subsidi.

Harga minyak petrol RON97 kini berharga RM2 seliter, manakala petrol RON97 dan diesel masing-masing diturunkan kepada RM1.90 seliter.

Menurutnya, kerajaan masih 'mendapat sedikit pendapatan' jika harga minyak turun ke paras asalnya seperti sebelum 5 Jun lalu, iaitu RM1.92 bagi RON97.

Subsidi petrol, katanya, tidak diperlukan lagi apabila harga minyak mentah dunia jatuh di bawah AS$65 setong. Harga minyak mentah sekarang ialah AS$55 setong.

Pada masa ini, katanya, harga kos bagi RON97 adalah di bawah RM1.61. Ini bermakna pengguna kini membayar 39 sen melebihi harga sebenar.

Shahrir berkata, walaupun selepas mengambil kira perolehan syarikat minyak dan operator stesen - masing-masing 19 dan 12 sen seliter - kerajaan masih boleh memperolehi keuntungan marginal bila harga di stesen RM1.92 seliter.

Lagi pula, katanya, syarikat minyak dan operator stesen membayar kepada kerajaan dalam bentuk cukai.

Kenyataan Shahrir itu berbeza dengan apa yang telah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu ucapan penggulungan Bajet 2009 pada 4 November lalu.

Najib berkata ketika itu bahawa kerajaan akan mengekalkan subsidi 30 sen untuk harga minyak.

Rebet kereta, motosikal kekal

Apabila ditanya mengenai penjimatan daripada dasar tidak membayar subsidi itu, Shahrir berkata, jumlahnya akan melebihi RM7 bilion.

Pengiraannya itu berdasarkan kepada rang undang-undang subsidi kerajaan pada 2007 ketika purata harga minyak mentah ialah AS$65 setong, iaitu RM8.8 bilion - sama dengan harga minyak sekarang.

"Jika harga minyak mentah kekal di bawah AS$60 setong, saya menjangka sekurang-kurangnya RM10 bila (akan dijimatkan)," katanya.

Di samping itu, katanya, subsidi diesel dan gas asli masih dikekalkan, terutama bagi pengangkutan awam, begitu juga dengan rebet untuk kereta dan motosikal.

"Kita masih membayar RM625 rebet untuk kereta dan RM150 untuk motosikal terus kepada pemiliknya," kata Shahrir.

ADS