BERITA Malaysiakini

Husam: Lambat lagi laksana hudud

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

PAS mengakui pelaksanaan undang-undang hudud dan qisas yang menjadi asas perjuangan terpaksa ditangguhkan walaupun jika Pakatan Rakyat menguasai Malaysia kerana ia memerlukan persetujuan PKR dan DAP.

husam musa bangsar 080408 left Naib presidennya Datuk Husam Musa berkata parti-parti dalam gabungan pembangkang telah menandatangani perjanjian pada Ogos lalu bahawa sebarang perubahan dasar perlu dibuat dengan persetujuan ketiga-tiga parti tersebut, lapor Bernama .

"PAS tidak akan mengambil langkah unilateral. Semua perkara akan diambil secara multilateral," katanya di Kota Bharu hari ini.

Dalam satu forum di sini pada Sabtu lepas, beliau berkata PAS akan tetap melaksanakan hudud tetapi pendirian itu dibantah oleh DAP.

"Pasal hudud kita bincang, kalau tidak boleh terima lagi, kita tangguhkan lagi," kata Husam.

Beliau berkata banyak perkara perlu dilakukan untuk menggubal undang-undang hudud itu seperti mengadakan rundingan dengan badan-badan peguam dan mungkin perlu diadakan pungutan suara.

DAP hari ini membantah hasrat PAS untuk menjalankan hudud sekiranya berjaya menguasai kerajaan persekutuan.

"Hukum hudud bukan dasar Pakatan Rakyat dan tiba giliran Husam menjelaskan apa yang dimaksudkannya," kata tokoh popular parti Lim Kit Siang hari ini.

DAP, tambahnya dalam satu kenyataan, terus dengan pendiriannya untuk mempertahankan wajah sekular bangsa dan negara Malaysia seperti dipersetujui dalam kontrak sosial oleh pengasas kemerdekaan negara 51 tahun lalu.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum, Mac lepas.

Ketua menteri Pulau Pinang berkata beliau akan menghubungi ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.