Bahaya pakai topi keledar lebih 5 tahun
Bagi mengelak kemalangan yang membahayakan pengguna motosikal, mereka dinasihatkan agar tidak menggunakan topi keledar yang melebihi lima tahun tempoh pemakaiannya.
Menteri Pengangkutan berkata topi keledar yang digunakan melebihi tempoh itu dibimbangi tidak lagi selamat digunakan kerana kualitinya yang semakin merosot, lapor Bernama .
"Justeru saya nak ingatkan, kita kena prihatin tentang jenis topi keledar yang kita guna pakai.
"Ada pengguna yang pakai topi keledar lama dan biasanya jangka hayat topi keledar adalah selama lima tahun sahaja," kata Datuk Seri Ong Tee Keat.
"Bahan topi keledar yang melebihi lima tahun mungkin sudah merosot, ini berasaskan kepada hasil kajian baik dari pihak Miros (Institut Keselamatan Jalan Raya) atau badan antarabangsa."
Menurut agensi berita itu lagi, Ong turut mengingatkan penunggang dan pembonceng motosikal agar memilih topi keledar yang menepati piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).
Tambahnya, kementerian telah mendapat kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan topi keledar menepati spesifikasi piawaian.

