Citigroup unjur KDNK 2009 M'sia kepada 0.5%
Citigroup Global Market mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2009 Malaysia kepada 0.5 peratus daripada 3.1 peratus sebelum ini, di tengah-tengah aktiviti ekonomi yang perlahan.
Unjuran KDNK kerajaan ialah 3.5 peratus, lapor Bernama
Pertumbuhan KDNK suku tahun pertama 2009 dijangka -0.9 peratus, kata Ketua Penyelidikan Malaysia Citigroup Global Market, Choong Wai Kee di satu sidang media di ibunegara hari ini.
"Bagi suku tahun kedua dan ketiga, akan berlaku pemulihan sederhana tetapi dijangka lebih rendah berbanding dengan suku tahun yang lain 2008.
"Ekonomi diharap melantun semula dengan kukuh di dalam suku keempat 2009," katanya.
Menurut Citigroup, GDP 2010 dianggarkan 4.2 peratus manakala imbangan fiskal diunjurkan -5 peratus pada 2009 dan -4.5 peratus pada 2010.
Choong berkata Malaysia kemungkinan terjerumus ke dalam kemelesetan teknikal pada suku keempat 2008 dan suku tahun pertama 2009.
Paras keluaran nasional
"Kemelesetan teknikal berlaku apabila paras keluaran nasional sebenar menurun bagi tempoh dua suku tahun berturut-turut yang menyebabkan penguncupan di dalam volum keseluruhan pengeluaran di dalam ekonomi.
"Permohonan pinjaman pengguna dan kelulusan telah menurun. Data Bank Negara Malaysia menunjukkan sekitar 11,560 pekerja diberhentikan di dalam suku tahun ketiga 2008," katanya.
Beliau turut menkankan mengenai perbelanjaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang kini perlahan manakala eksport November turun bagi bulan kedua berturut-turut, dengan menguncup 4.9 peratus.
"Kita akan menyaksikan lebih banyak kemerostan pendapatan korporat," katanya.
Menurut Choong, pengeluaran perindustrian turun 7.7 peratus pada November daripada setahun lalu, dengan merosot lagi daripada 2.9 peratus yang dicatatkan pada Oktober.
Dengan itu, katanya pertumbuhan KDNK suku tahun keempat 2008 dijangka mencatatkan 2.0 peratus.
Katanya senario ekonomi semasa berbeza daripada semasa krisis 1997/1998, di mana negara-negara berkenaan mengalami keadaan perlahan, yang termasuk Malaysia, yang berupaya keluar dari keadaan itu dengan meningkatkan eksport.
Pakej penstabilan ekonomi
"Tetapi, jika kita bergantung kepada senario ekonomi semasa, risikonya kian bertambah kerana kerajaan negara-negara yang bermasalah mencatatkan 60 peratus daripada pertumbuhan ekonomi global dan telah mengurangkan kapasiti masing-masing untuk membeli," katanya.
Menurutnya, rangsangan fiskal merupakan antara cara lebih baik untuk mengendalikan keadaan tetapi enggan menyatakan berapa banyak kerajaan perlu berbelanja lagi.
Tahun lalu, kerajaan mengumumkan pakej penstabilan ekonomi mengembang RM7 bilion, yang bersamaan dengan 0.9 peratus daripada KDNK.
Kerajaan juga sedang menimbang pelan rangsangan kedua.
"Kerajaan juga sepatutnya mempercepatkan pelaksanaan sesetengah projek," katanya.
Walau pun Citigroup menurunkan unjuran itu, Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebelum itu dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan berkeyakinan bahawa negara ini tidak akan terjerumus ke dalam kemelesetan teknikal pada tahun ini.
Katanya pertumbuhan ekonomi negara ini dijangka kekal positif di dalam tempoh dari Januari hingga Jun tahun ini berasaskan ekuiti sistem kewangan yang melebihi 13 peratus, kecairan keseluruhan yang berjumlah berbilion ringgit dan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang rendah kira-kira 2.5 peratus.

