Kehadiran pemimpin Umno Johor, Datuk Puad Zarkashi dalam mesyuarat jawatankuasa induk Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) malam ini amat penting bagi mengimbangi suara pemimpin politik dalam gabungan itu, kata setiausaha pelaksananya, Saifullah Zulkifli.

Dr Puad Zarkashi GMP dipengerusikan oleh bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad serta turut dianggotai antaranya Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Md Isa dan

Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub.

Oleh itu, Saifullah percaya Dr Hassan Ahmad yang akan mempengerusi mesyuarat malam ini, mampu memastikan Puad (foto) tidak menjadi sasaran kerana PPSMI diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tujuh tahun lalu.

Katanya, Dr Hassan sebagai tokoh bahasa dan bukan orang politik, akan dapat memandu mesyuarat malam ini supaya berlangsung secara seimbang dan terkawal.

setiausaha pelaksana gerakan mansuhkan ppsmi gmp saifullah zulkifli Saifullah berkata, pihaknya juga turut menjemput Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad - untuk turut menghadiri mesyuarat malam ini yang akan diadakan di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam.

Setelah diundang minggu lalu, ketua bahagian Umno Batu Pahat itu semalam menyatakan kesediaan beliau hadir dalam mesyuarat anjuran gabungan 14 NGO dan parti pembangkang di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam malam ini.

Perhimpunan bantahan

Semalam, Puad yang juga ahli Parlimen Batu Pahat berkata beliau akan menghadiri mesyuarat malam ini bukan mewakili Umno tetapi atas kapasiti individu bagi mendengar sendiri strategi gabungan itu memperjuangkan pemansuhan PPSMI.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Saifullah berkata, GMP juga turut mengundang sebanyak mungkin NGO dan individu yang menentang pelaksanaan dasar itu untuk menghadiri mesyuarat malam ini.

Katanya, GMP juga berharap, NGO terbabit dapat menyokong penuh kempen gabungan itu yang merancang mengadakan perhimpunan besar 100,000 orang ala-Bersih Mac ini.

Saiffullah berkata, sebelum perhimpunan itu diadakan, satu majlis pelancarannya akan diadakan hujung bulan itu.

Selain itu, katanya, GMP turut bercadang mengadakan perhimpunan kecil di seluruh negara menjelang perhimpunan besar itu.

Beliau mengesahkan perkara itu merupakan sebahagian daripada agenda perbincangan dalam mesyuarat malam ini.