Kumpulan pro-Aspirasi yang kini dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya (UM) bersedia memberi kerjasama kepada pro-Mahasiswa untuk menubuhkan 'kabinet' campuran dalam Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM) sesi kali ini.

universiti malaya um campus election 200109 01 Jurucakapnya, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ali berkata pihaknya reda dengan kegagalannya untuk mengekalkan penguasaannya dalam pilihanraya kampus kali ini.

Katanya, walaupun pihaknya mendapat 20 kerusi manakala pro-Mahasiswa pula mendapat 19 kerusi, tetapi dari segi undi popular dan penguasaan kerusi umum ia memihak kepada lawan mereka.

Wan Mohd Hafiz berkata, pro-Mahasiswa memenangi lapan daripada sembilan kerusi umum di mana jumlah pengundinya jauh lebih ramai daripada pengundi di peringkat fakulti.

"Walaupun kita menang banyak kerusi fakulti, tetapi di segi jumlah undi, ia lebih memihak kepada pro-Mahasiswa yang menang lebih kerusi umum," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ditanya sama ada kabinet kali ini tergantung dan kuasa penentunya terletak pada dua calon bebas yang menang kerusi Fakulti Undang-undang, Wan Mohd Hafiz berkata:

"Tidak kira siapa yang mereka (calon bebas) sokong, ia tidak menjejaskan penguasaan pro-Mahasiswa dalam MPPUM," tambahnya.

Dua punca kekalahan

Hakikatnya, kata beliau, pro-Mahasiswa dilihat menguasai pilihanraya kampus kali ini berdasar jumlah undi besar yang mereka dapat, walaupun tidak mendapat cukup kerusi majoriti.

universiti malaya um campus election 190109 13 "Sudah menjadi kebiasaan bahawa jawatan presiden MPPUM akan dipegang oleh kumpulan yang mendapat undi popular yang paling tinggi.

"Dan kali ini, undi popular paling tinggi diperolehi oleh pro-Mahasiswa - dengan jumlah hampir 5,000 undi.

"Oleh itu, jawatan tersebut layak disandang oleh wakil dari kumpulan pro-Mahasiswa," katanya sambil menambah peluang pihaknya 'sangat tipis' untuk mendapat jawatan tersebut.

Ditanya mengenai punca kekalahan Penggerak Mahasiswa di UM kali ini, beliau berkata, ia turut dipengaruhi oleh isu-isu panas yang berlaku dalam kampus.

Antaranya, kata Wan Mohd Hafiz ialah kes kepala babi diletak dalam surau Akademi Pengajian Islam serta laporan polis calon pro-Mahasiswa Shah Rizul Ayuni Zulkiply.

Penjenamaan semula

Ayuni sebelum ini membuat laporan polis, mendakwa dia cuba disogok supaya bertanding bagi pihak universiti dalam pilihanraya kampus.

Ini ekoran Ayuni menerima sepucuk surat yang menawarkan dia bertanding kerusi umum bagi pihak universiti berkenaan.

"Kekalahan ini kita telah jangka lebih awal lagi. Kita akui presiden MPPUM yang lalu agak kurang berprestasi.

"Sebab itu kita tukar nama (dari pro-Aspirasi) kepada Penggerak Mahasiswa untuk tujuan penjenamaan semula.

"Jika tidak mungkin kita kalah lebih teruk," katanya.