Kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno disarankan supaya mencontohi langkah Tun Abdul Razak Hussein yang melakukan perubahan politik selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Ketika membuat saranan tersebut, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata, Tun Razak melakukan perubahan besar dengan menukar nama Perikatan kepada BN, yang melibatkan penambahan parti komponen dan perubahan logo - daripada kapal layar kepada dacing.

Dalam hubungan itu, Dr Mohd Khir menyarankan supaya Dasar Ekonomi Baru (DEB) mestilah diperbaharui supaya kerajaan BN mendapat semula kepercayaan rakyat setelah kekalahan calon mereka di Kuala Terengganu 17 Januari lalu.

Menurut beliau, usaha memperbaharui dasar yang diperkenalkan lebih 30 tahun lalu itu mesti difokuskan ke arah merapatkan jurang pendapatan dan kualiti hidup rakyat pelbagai kaum.

"DEB hari ini tidak digemari oleh orang Melayu, tidak disukai oleh orang Cina, dibenci oleh orang India. Sebab itu, dasar polisi baru perlu dibuat. Dan, ianya mesti berlandaskan kepada dua perkara.

"Pertama, polisi ekonomi baru itu mestilah merapat jurang ekonomi antara rakyat semua kaum. Kedua, ia mesti merapatkan jurang kualiti hidup antara rakyat, daripada aspek infrastruktur dan sebagainya," kata Dr Mohd Khir dalam sebuah sidang media di pejabat Umno Selangor di Shah Alam pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perubahan yang perlu dilakukan Umno dan BN setelah calonnnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini.

Ikut keadaan semasa

Wan Ahmad Farid kalah kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 30,252 undi manakala lawannya itu mendapat 32,883 undi.

Mengulas lanjut perubahan polisi ekonomi yang dicadangkannya itu, Dr Mohd Khir berkata, beliau mengemukakan cadangan itu berdasarkan keadaan semasa di mana jurang pandapatan antara kaum yang besar.

Menurutnya, purata pendapatan orang Melayu sekarang sebanyak RM2,800, India RM3,200 manakala Cina pula sebanyak RM4,400 sebulan.

Selain itu, berhubung jurang infrastruktur, katanya, di setetangah tempat seperti di Sabah dan Sarawak, kemudahan asas seperti jalanraya, eletrik dan air masih tidak ada.

"Di Kuala Terengganu, kita dapat lihat baru-baru ini," tambah beliau.

Ketua pembangkang Selangor itu berkata, jika pemimpin BN dapat melakukan perubahan ini, beliau yakin BN akan mendapat kembali sokongan rakyat.

Mengulas lanjut punca kekalahan BN di Kuala Terengganu, Dr Mohd Khir berkata, BN, seperti juga Pakatan Rakyat, gagal memberikan harapan baru kepada rakyat.

'Isu-isu mikro'

Tambahnya, perkara itu menyebabkan kemenangan dalam pilihanraya ditentukan oleh "isu-isu mikro" seperti pemimpin sombong dan tidak turun padang.

"Sebenarnya, sekarang ini, rakyat masih 50-50. Sebab, kalau pertandingan pun, 80,000 (pengundi), menang (majoriti) 2,000 (undi). Peluangnya di situ....

"Parti ini masih tidak mampu memberikan harapan baru kepada rakyat. Pakatan Rakyat tidak mampu. Dan BN juga tidak mampu.

"Bila tidak mampu, isu-isu mikro akan menjadi penyebab kemenangan kepada calon," katanya.

Ketika mengulas kekalahan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pemimpin Umno kurang mesra rakyat.

Manakala Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, Umno sudah kehilangan daya penarik khususnya di kalangan pengundi muda.