Kerajaan belum membuat keputusan berhubung cadangan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia untuk memindahkan terminal penerbangan tambang murah (LCCT) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke (KLIA) ke Labu, Negeri Sembilan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami sedang menelitinya (cadangan itu) tetapi masih belum membuat sebarang keputusan. Saya tidak boleh mendahului apa-apa keputusan dengan membuat pengumuman," katanya, lapor Bernama.

Najib memberitahu pemberita demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan pesawat amfibia Bombardier CL415 oleh syarikat pembuat pesawat itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di Petaling Jaya hari ini.

Najib berkata kerajaan mengkaji daripada semua sudut berhubung cadangan pembinaan LCCT baru itu bagi melihat "sama ada kita boleh meneruskannya atau pun kita perlu membuat persediaan lain."

Terminal baru syarikat penerbangan tambang murah di Labu itu, yang akan dikenali sebagai KLIA-East@Labu, dijangka bagi mengekalkan pertumbuhan pesat AirAsia berbanding LCCT di KLIA iaitu lokasi operasi syarikat itu sekarang.

Awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Datuk Seri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan tambang murah terulung negara itu akan muflis sekiranya masih kekal dengan LCCT KLIA, memandangkan ia tidak akan berupaya mengendalikan lalulintas penumpang dalam beberapa tahun akan datang.

LCCT baru itu yang membabitkan kos RM1.6 bilion di atas kawasan seluas 2,800 hektar, akan dibina di bawah konsep inisiatif pembiayaan swasta oleh konglomerat Sime Darby Berhad dan syarikat penerbangan tambang murah itu.

Jika kerajaan memberikan lampu hijau untuk projek berkenaan, LCCT baru itu dijangka siap menjelang Mac 2011.