Calon: Umno Bkt Gantang belum bermesyuarat...
Ahli dan penyokong Umno bahagian Bukit Gantang tertanya-tanya bilakah Umno bahagian berkenaan akan mengadakan mesyuarat untuk memilih calon mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil 7 April depan.
Mereka mendakwa sehingga ini Umno bahagian belum mengadakan mesyuarat untuk memilih untuk mewakili BN.
Ini kerana mereka bimbang parti tersalah pilih calon sebagaimana yang dilakukan dalam pilihanraya umum lalu.
Dalam pilihanraya itu, Datuk Mohd Azim Zabidi kalah kepada calon PAS Roslan Saharum.
Ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Bukit Gantang, Mohamad Saadin Yusof berkata, sehingga ini belum ada tanda-tanda mesyuarat akan diadakan.
"Oleh kerana mesyuarat tidak diadakan, maka ramailah yang bersuara mahu menjadi calon.
"Saya tidak tahu mengapa ia belum diadakan kerana kuasa untuk memanggil mesyuarat ialah ketua bahagian, Datuk Rosli Husin," katanya.
Suara akar umbi
Bagaimanapun, menurutnya, mesyuarat bahagian belum diadakan mungkin kerana tarikh pilihanraya yang masih jauh.
Baru-baru ini Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan sebagai berkata, Umno telah mengenalpasti calon untuk kerusi parlimen tersebut.
Ketika diminta mengulas perkara tersebut, Mohamad berkata, ada kemungkinan menteri besar sudah mengenalpasti calon berdasarkan suara-suara di peringkat akar umbi.
Bagaimanapun, kata beliau, menurut amalan, Umno akan mencadangkan tiga nama kepada badan perhubungan Umno untuk dibincangkan dan seterusnya dihantar kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Seorang lagi AJK, Kamaruddin Ayub juga mengesahkan Umno bahagian belum bermesyuarat untuk memilih calon bagi pilihanraya Parlimen Bukit Gantang.
Katanya, keadaan ini menyebabkan ahli-ahli Umno di bahagian itu tertanya-tanya siapakah penmimpin Umno dari bahagian itu yang akan menjadi calon BN.

