Kes Datuk Mirza: Ada pengeluaran RM13,860 kata saksi
Perbicaraan kes rasuah Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab Beg Mirza Hadi Hassan Beg hari ini diberitahu bahawa terdapat transaksi pengeluaran RM13,860 oleh syarikat perunding pengiklanan kepada sebuah klinik.
Penolong Pengurus Maybank cawangan Bukit Damansara, L Danatatchumi, 39, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa penyata kewangan bank Syarikat Perunding Pakar Media Sdn Bhd menunjukkan bahawa sekeping cek bertarikh 30 Jun 2005 berjumlah amaun tersebut telah dikeluarkan oleh syarikat berkenaan (Perunding Pakar Media) dan dibayar kepada Clinical Practise Prosthodontic Sdn Bhd.
Katanya, Mirza (foto) merupakan salah seorang daripada empat orang yang tersenarai sebagai pengarah syarikat Perunding Pakar Media pada tahun 2003 dalam urusan membuka akaun semasa syarikat itu (perunding pakar media), lapor Bernama.
Saksi pendakwaan ketiga itu turut memberitahu mahkamah bahawa Mirza mempunyai kuasa pada masa itu untuk menandatangani cek syarikat itu selain dua lagi penama.
Danatatchumi memberi keterangan sedemikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwaraya Saiful Hazmi Mohd Saad mengenai penyata kewangan bank syarikat itu yang bertarikh 11 Julai 2005.
Mirza, 52, dituduh menerima suapan RM13,860, daripada Zulhisyam Ayob, 48, pengarah syarikat Perunding Pakar Media, di mana syarikat itu telah membiayai rawatan pergigian Mirza di Clinical Practise Prosthodontic.
Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di klinik itu di No.15, Tingkat Bawah, Jalan 2/71 Off Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail, antara 17 Januari dan 26 Julai 2005.
Mirza, yang dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, dituduh mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Pelanggan CIMB cawangan Taman Tun Dr Ismail, Muhammad Azmi Mohd Sibi, 42, mengesahkan ada kemasukan wang berjumlah RM13,860 ke dalam akaun Clinical Practise Prosthodontic pada tarikh yang sama (Julai 11 2005) berdasarkan penyata bank akaun klinik itu.
Saksi pendakwa keempat itu berkata beliau hanya mengesahkan penyata bank klinik berkenaan sebaik menerimanya melalui e-mel daripada ibu penjabat CIMB di Jalan Tun Perak tetapi menafikan mengeluarkan penyata itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin disambung pada 16 Mac ini.

