Peluang BN di Bukit Lanjan masih "belum pasti" sekiranya pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diadakan dalam masa terdekat, kata seorang pemimpin Umno di situ.

"Di Bukit Lanjan ini, lebih 52 peratus pengundi Cina. Kita masih tidak tahu (peluang memenangi pilihanraya kecil).

"Tetapi di kalangan orang Melayu, sokongan terhadap kita (Umno) meningkat ekoran isu-isu pentadbiran dalam negeri," kata ketua Umno Cawangan Ara Utama, dekat Bukit Lanjan, Shuhaimi Samiun.

bm version bukit lanjan state seat 170209 Shuhaimi mengulas peluang BN merampas semula kerusi DUN itu sekiranya pilihanraya kecil diadakan dalam masa terdekat ekoran tawaran penyandangnya, Elizabeth Wong melepaskan jawatan tersebut.

Elizabeth semalam dilaporkan menawar diri meletak jawatan sebagai exco dan Adun Bukit Lanjan, ekoran penyebaran foto bogelnya kepada umum.

Beliau dilaporkan mengumumkan perkara itu "demi kepentingan parti" walaupun banyak pihak - termasuk Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim - memintanya menimbang semula keputusan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Shuhaimi berkata, peningkatan sokongan kepada Umno disebabkan kelemahan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menguruskan pentadbiran di peringkat daerah.

Pilihanraya kecil

Katanya, ketidakpuasan hati orang Melayu berlaku apabila kontraktor Melayu "dicantas" dalam pemberian kontrak di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) akibat perbezaan parti politik.

"Kita orang Melayu, kalau buat macam ini, periuk nasi kita habis," katanya, yang mendakwa masalah itu berlaku di kebanyakan PBT di negeri itu.

Dalam pilihanraya umum lalu, Elizabeth mengalahkan calon Gerakan Yong Dai Ying dengan majoriti besar sebanyak 5,155 undi.

bukit lanjan area 170209 DUN Bukit Lanjan mempunyai lebih 25,000 pengundi dengan 52.8 peratus daripadanya pengundi Cina, 31.8 peratus Melayu, 14.7 India dan 0.7 peratus lain-lain bangsa.

Dalam pilihanraya umum 2004 pula, calon PKR, V Panneerselbam dikalahkan Yong dengan majoriti besar 8,339.

Selain itu, Umno cawangan Ara Utama juga menyambut baik kesediaan Elizabeth meletak jawatan ekoran penyebaran gambar bogelnya itu.

"Ini (gambar bogel) isu moral, beliau patut meletakkan jawatan," tambah Shuhaimi yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di Bukit Lanjan.

Difahamkan foto-foto itu dirakam tanpa kebenarannya - kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya - sewaktu beliau sedang tidur.

Pada 7 April depan, dua pilihanraya kecil serentak akan berlangsung di kawasan parlimen Bukit Gantang di Perak dan DUN Bukit Selambau di Kedah.

Banyak pihak menjangkakan, jika berlaku kekosongan, pilihanraya kecil Bukit Lanjan juga akan diadakan pada tarikh yang sama.