Janji Kamilia sebagai naib ketua Wanita
Datuk Kamilia Ibrahim, yang menang tanpa bertanding jawatan naib ketua Wanita Umno - selepas penyandang jawatan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak mempertahankannnya - berjanji akan menjalankan tangggungjawabnya dengan sebaik mungkin.
Ketua Wanita Umno Kuala Kangsar itu yang turut bersyukur dengan ketentuan Allah S.W.T, turut berterima kasih kepada Shahrizat yang telah memberi laluan yang mudah kepadanya untuk menjawat jawatan tersebut.
"Saya berjanji akan menjalankan tanggungjawab saya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri mesyuarat Exco Wanita Umno di ibunegara hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang menyebut bahawa Shahrizat telah mengesahkan kepada Ibu Pejabat Umno baru-baru ini yang beliau hanya bertanding jawatan ketua Wanita Umno dan menolak pencalonan bagi jawatan naib ketua Wanita dan juga sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno.
Kamilia, 56, telah mendapat 56 pencalonan daripada 191 bahagian Wanita Umno untuk bertanding jawatan naib ketua Wanita dalam pemilihan parti itu Mac ini, manakala Shahrizat mendapat pencalonan selebihnya.
Kamilia, yang terkenal sebagai seorang yang berdikari dan tegas dengan pendapat dan pendiriannya, turut berterima kasih dengan kata perangsang dan semangat yang diutarakan oleh Shahrizat kepadanya.
"Kata-kata yang dapat memberikan semangat untuk sama-sama kami berjuang demi misi dan visi Wanita Umno pada masa hadapan dan bagi melangkah ke hadapan dalam abad ke-21 ini.
"Saya berdoa agar kelangsungan kepimpinan Wanita Umno daripada beliau (Shahrizat) sebagai naib ketua kepada saya akan dapat saya pikul sebagai satu tanggungjawab dan amanah daripada Allah S.W.T. dan juga amanah daripada Wanita Umno Malaysia keseluruhannya kerana telah memberikan saya kesempatan dan peluang untuk memberi sumbangan," katanya.
Seorang peguam
"Saya amat menghargai kepercayaan yang telah diberikan," kata lulusan Sarjana Undang-undang dalam bidang perbandingan undang-undang Perlembagaan dan Undang-Undang Restitusi.
Kamilia sebelum ini pernah menjadi pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara, pensyarah undang-undang Universiti Teknologi Malaysia selain menjadi peguam syariah.
Bekas senator dan juga anggota Exco Wanita Umno itu turut bergiat aktif dalam badan bukan kerajaan seperti Pemadam, Majlis Penyelarasan untuk perlindungan kanak-kanak, Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Sementara itu, Shahrizat yang ditemui di majlis yang sama berkata, beliau yakin Kamilia mampu menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya serta mendapat kepercayaan akar umbi.
"Kamilia yang juga pengerusi biro undang-Undang Wanita Umno bukan calang-calang pemimpin kerana telah lama berkecimpung dalam bidang politik serta merupakan peguam yang berjaya, selain menghayati keperluan serta kemahuan Wanita Umno," katanya.
Beliau berkata Kamilia telah banyak berjasa kepada parti, dan percaya sesiapa yang bakal berganding dengannya, mampu membawa perubahan terhadap visi dan misi Wanita Umno.
"Saya percaya bahawa Allah telah meletakkan Datuk Kamilia sebagai naib ketua Wanita, ada sebabnya. Beliau menang dengan mudah sekali. Pada saya ini ketentuan Allah S.W.T. Jangan kita persoalkan bagaimana perkara itu berlaku," tambahnya.
Beliau yang turut melahirkan kegembiraan terhadap kemenangan Kamilia tanpa bertanding turut mengucapkan "selamat berjuang" kepadanya.

